Showing posts with label Woman. Show all posts
Showing posts with label Woman. Show all posts

Monday, July 21, 2008

Kasihnya ALLAH pada Wanita

Keistimewaan yang Tuhan berikan kepada wanita terlalu banyaknya". "Kasihnya Tuhan kepada wanita!" Itulah kata-kata yang paling mudah digunakan untuk menggambarkan 'layanan' istimewa terhadap wanita dalam Islam. Sesungguhnya, tidak akan ada mana-mana ajaran, ideologi, isme atau agama lain yang dapat melayan wanita dengan sebegitu baik sepertimana Islam melayan wanitanya. Malah, kalau bergabung pun kesemua wanita yang cerdik pandai, berharta dan berkuasa di seluruh dunia ini untuk menambah hak dan pengiktirafan buat mereka, mereka pasti tidak akan mencapai taraf kemuliaan serta layanan baik yang Allah SWT tawarkan buat seorang wanita di dalam Islam.

Namun, ramai wanita yang tidak memahami hal ini. Lantaran itu kebanyakan mereka tertipu oleh nafsu sendiri dan merasa terkongkong dengan amalan atau larangan tertentu yang digunakan ke atas wanita Islam seperti amalan menutup aurat, larangan bergaul bebas, poligami, larangan wanita menjadi pemimpin dan lain-lain lagi. Mereka cukup takut dan gerun dengan kesemua amalan atau larangan yang dianggap sangat menindas wanita. Walhal kalau dikaji setiap satu amalan atau larangan itu, mudah sahaja untuk melihat hikmah dan kebaikannya kepada kaum wanita itu sendiri.

Lalu kita melihat apa yang diperjuangkan oleh pejuang-pejuang hak wanita ialah mereka kalau boleh tidak mahu sebarang sekatan dikenakan ke atas mereka. Tentulah ini tidak munasabah. Sedangkan manusia sendiri banyak membuat peraturan-peraturan serta larangan itu dan ini, atas alasan hendak menjaga keselamatan diri atau masyarakat awam. Contohnya, dalam soal lalu-lintas, terlalu banyak peraturan dan larangan yang manusia buat seperti jangan memandu melebihi had laju, tidak boleh letak kereta di garisan kuning, mesti berhenti apabila ada isyarat lampu merah, mesti hidupkan lampu selepas pukul 7 malam dan berbagai-bagai lagi. Kalau dalam bidang sekecil ini pun perlu banyak peraturan dan larangan, sudah tentulah dalam bidang kehidupan lebih memerlukan lagi, dan lebih-lebih lagilah kalau skopnya itu jauh lebih luas iaitu untuk keselamatan dunia dan Akhirat.

Tuhan sebenarnya sangat kasih dan memuliakan kaum wanita. Segala suruhan dan larangan yang Tuhan kenakan ke atas kaum wanita tidak lain dan tidak bukan ialah untuk memastikan keselamatan dirinya dan masyarakat dan sekali-kali bukan untuk menyusahkan mereka. Tetapi, atas hujah dan alasan apa dakwaan ini dibuat? Mari kita lihat satu persatu pengiktirafan yang diberikan olehTuhan kepada wanita, sama ada setara langsung atau pun tidak.

i) Gelaran bagi `isteri' di dalam Al Quran


Perkataan yang Allah SWT gunakan di dalam Al Quran untuk menunjukkan suami atau isteri adalah perkataan yang sama, sedangkan dalam bahasa- bahasa lain, perkataan untuk suami dan perkataan untuk isteri menggunakan dua perkataan yang berbeza. Misalnya, dalam bahasa Inggeris, perkataan untuk suami ialah `husband' manakala perkataan untuk isteri ialah `wife'. Sementara dalam bahasa Perancis pula, perkataan untuk suami ialah `mari' manakala perkataan `femme' untuk isteri.

Tetapi di dalam Al Quran, suami dan isteri tidak disebut dua perkataan yang berbeza `zaujuh' dan `zaujati'. Hanya satu perkataan yang digunakan untuk kedua-duanya iaitu `zaujuh' yang bermakna `pasangan'. Islam melihat suami dan isteri adalah pasangan, penutup dan juga pelindung buat yang lain. Mereka dilihat sebagai sepasang, bukan berasingan. Sudah tentulah ini bermakna yang kaum lelaki di dalam Islam tidak dianggap lebih mulia daripada kaum wanitanya. Apabila kita mengatakan sepasang kaca mata, sepasang stokin atau sepasang baju, tentulah kita menganggap mereka setara dan tidak dapat dipisahkan di antara satu sama lain. Dan sudah tentulah kita tidak menganggap yang stokin kanan lebih hebat daripada stokin kiri atau kaca mata kanan lebih baik daripada kaca mata kiri. Begitulah tamsilannya sepasang suami isteri di dalam Islam seperti yang tercatat di dalam Al Quran.

Namun, gelaran zaujuh ini hanya diberikan kepada isteri yang sama beriman. Bagi isteri yang tidak beriman, mereka tidak disebut zaujuh. Contohnya, isteri Nabi Lut dan isteri Nabi Nuh. Di dalam Al Quran, mereka disebut 'imraah', kerana isteri sebegini tidak dianggap pelengkap, pelindung atau penutup kepada suaminya.

ii) Pembelaan Rasulullah SAW Terhadap Wanita

Rasulullah SAW ada banyak menyatakan Hadis-Hadis yang menunjukkan betapa wanita itu dimuliakan di dalam Islam. Antaranya:

a. "Syurga di bawah telapak kaki ibu." Apakah wanita tidak rasa mulia dengan Hadis ini? Mengapa Rasulullah SAW memilih perkataan "di bawah telapak kaki" dan bukan "di dalam tangan" atau "di sisi" seorang ibu? Sudah tentu ini sangat menggambarkan mulianya seorang wanita di dalam Islam. Seorang yang faham tentu akan sangat memandang mulia, menghormati, membela serta berlumba-lumba untuk berkhidmat dan meng'hamba'kan diri kepada ibunya (dengan syarat segala yang dibuat itu tidak melanggar syariat). Tidakkah beruntung menjadi seorang ibu di dalam Islam? Dia tidak akan terbiar dan dipinggirkan, malah akan sentiasa dibela, dihormati dan dimuliakan oleh anak-anaknya.

b. "Orang yang paling baik dari antara kamu itu ialah yang paling baik kepada isi rumahnya, dan aku ini orang yang paling baik dari antara kamu kepada isi rumahku."

c. "Tidak akan memuliakan perempuan-perempuan melainkan orang yang mulia, dan tidak menghina akan perempuan-perempuan melainkan orang yang hina."(Hadis riwayat Ibnu `Asakir)

d. "Bergaullah kamu dengan isteri-isteri kamu dengan cara yang sopan. Kemudian bila kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak."

e. "Janganlah seorang mukmin lelaki membenci kepada seorang (isterinya yang) mukminah, kerana walaupun ada satu perangainya yang lelaki itu tidak suka, tetapi (tentu) ada lain perangainya yang is suka."(Hadis riwayat Ahmad dan Muslim)

Demikianlah hak-hak istimewa seorang wanita yang diberi oleh Islam. Dalam satu masyarakat yang bertaqwa, kaum wanita tidak perlu bimbang yang mereka akan diperleceh, dipermain atau diperkotak-katikkan oleh kaum lelaki, sebaliknya mereka boleh yakin bahawa pihak lelaki akan sentiasa melindungi, menasihati, menegur dan membimbing mereka dengan ikhlas.

iii) Bahagian Tubuh Wanita Dianugerahkan Nama yang Mulia

Dalam tubuh wanita, ada satu bahagian yang diberi nana yang begitu mulia iaitu rahim. Perkataan ini diambil dari nama Tuhan, yang bermaksud `Maha Penyayang'. Sudah tentulah Tuhan tidak akan memberikan nama yang semulia ini kepada sesuatu yang hina di sisi- Nya. Sudah tentuTuhan akan memilih sesuatu yang mulia juga untuk dianugerahkan nama yang begitu mulia. Tuhan tidak berikan nama yang semulia ini kepada bahagian tubuh lelaki tetapi Dia memberikannya kepada bahagian tubuh wanita. Rahim inilah yang merupakan penghubung kepada makhluk. Di dalam rahimlah, wanita menjaga ciptaanTuhan dan memberi makan kepada apa yang Tuhan ciptakan.

Kaum wanita sepatutnya merasa sangat malu kepada Tuhan kerana memberi penghargaan yang begitu tinggi kepada mereka. Siapa boleh nafikan kepentingan rahim untuk kewujudan manusia? Anugerah rahim kepada wanita sebenarnya sudah cukup untuk membuktikan akan mulianya wanita di sisi Tuhan.

iv) Diberi Pahala yang Berterusan

Wanita disebut `kurang dari sudut agama', tetapi ini bukan bermaksud yang wanita itu kurang dari sudut iman dan taqwanya. Mereka cuma kurang bersolat ketika datang haid dan nifas. Namun, oleh kerana di waktu-waktu lain mereka sentiasa bersolat, maka sepanjang waktu haid dan nifas itu, Tuhan tetap memberikan juga pahala solat sekiranya mereka dapat bersabar dengan keadaannya yang tidak selesa itu.

Bayangkan seorang wanita yang baru melahirkan anak. Sudahlah digugurkan dosa-dosanya seperti seorang bayi yang baru lahir, diberikan pula pahala solat percuma sepanjang dia dalam keadaan nifas. Dan kalau dia sabar menyusu, memelihara dan melayan kerenah anaknya pula, makin banyaknya pahala yang Tuhan sediakan untuknya.

Aduh! Maha Pemurahnya Tuhan kepada wanita. Maha Baiknya Tuhan kepada golongan yang sering dianggap lemah dan terpinggir ini! Kalaulah wanita-wanita pejuang hak asasi itu tahu begini sekali ganjaran- ganjaran yang Tuhan berikan kepada seorang wanita mukminah, pastilah mereka akan meninggalkan perjuangan mereka. Tidak ada apa-apa lagi hak yang perlu diperjuangkan oleh seorang wanita mukminah. Yang Tuhan tawarkan itu pun sudah terlampau banyaknya.

Monday, July 14, 2008

Fatimah Az-zahra - Model Muslimah Sejati

Wanita hanya dianggap satu elemen yang hanya akan merosakkan banyak cara hidup bukan Islam.

Lantaran itu mereka sering diasingkan, malah terbiar tanpa pendidikan dan terpinggir daripada arus kemajuan.

Ini ternyata sungguh ironi kerana kebangkitan Rasulullah s.a.w. di antara lainnya dilihat sebagai pembela utama wanita yang sebelumnya dipandang hina pada mata masyarakat Quraisy jahiliah.

Pengiktirafan terhadap wanita bukan sahaja datang daripada Rasulullah, bahkan Allah s.w.t. sendiri menetapkan tokoh-tokoh wanita dalam Islam yang dianggap sebagai ahli syurga, iaitu Khadijah binti Khuwailid, Fatimah az-Zahra, Mariam binti Imran dan Asiah binti Muhazim.

Mereka bukanlah makhluk langit seperti bidadari yang digambarkan oleh Allah dalam al-Quran sehingga kita terpesona dan dibuai keindahan cerita-ceritanya.

Sebaliknya mereka adalah makhluk bumi sama seperti kita. Namun memiliki ketinggian sifat mulia dan kedudukannya di sisi Allah.

Sewajarnya mereka yang merupakan wanita mithali ini menjadi model utama umat Islam dan kaum hawa keseluruhannya.

Namun nama-nama wanita ideal ini begitu jarang sekali disebut, hatta ketika perayaan sambutan hari wanita sekalipun.

Wanita diibaratkan sebagai cahaya kehidupan atau nur tetapi persoalannya, di manakah akan kita temui nur yang ideal untuk dijadikan contoh?

Sedangkan di sisi umat Islam, sebenarnya ada nur yang hari lahirnya berkunjung setiap tahun - 20 Jamadilakhir - tetapi tiada siapa peduli, di antaranya ialah Fatimah az-Zahra.

Fatimah digolongkan dalam keturunan Ahli Bait yang disebut setiap kali dalam tahiyat akhir ketika solat.

Selawat ke atasnya sudah menjadi sebahagian daripada ibadah, sedangkan umat Islam melupakannya.

Bercakap mengenainya bukan sekadar untuk mengingati peribadi Fatimah itu sahaja, sebaliknya yang lebih utama ia adalah sebuah institusi yang penting.

Fatimah adalah lambang model bagaimana berjayanya sistem pendidikan dan tarbiyah Rasulullah terhadap anak-anak, yang daripadanya lahir generasi pencinta agama dan kebenaran.

Dia dididik dalam rumah Rasulullah dan dibelai oleh ibunya, Khadijah yang juga wanita syurga. Dan Fatimah sendiri adalah ibu kepada dua putera yang menjadi pemuda di syurga - Hassan dan Hussein.

Malah dia menghimpunkan semua sifat terpuji daripada tiga wanita syurga-Mariam, Khadijah dan Asiah- untuk diteladani oleh umat Muhammad.

Kemuliaan martabat Fatimah tidak hadir dengan begitu sahaja, malah ia sebenarnya berpunca daripada kemurnian peribadi hasil didikan ayahandanya, Rasulullah s.a.w. berdasarkan manhaj tarbiyah Islamiah.

Suci

Peribadinya juga terbentuk sejak dia dalam kandungan ibunya seperti dijelaskan dalam hadis daripada Aisyah r.a. bahawa Rasulullah bersabda, ``Ketika aku diangkat oleh Tuhanku di malam Isra' Mikraj, aku di bawa ke syurga oleh Jibril al-Amin. Aku menikmati sebiji buah daripada buah-buahan syurga lalu daripadanya terjadi nutfah di dalam sulbiku.

``Setelah beberapa waktu isteriku Khadijah melahirkan Fatimah. Maka ketika aku rindukan aroma syurgawi, kucium keharuman Fatimah.'' (As-Suyuti, Dur al-Manthur dalam tafsir Surah al-Isra:1)

Kalam dan huruf sama sekali tidak akan mampu melukiskan peribadi wanita suci ini.

Jika harus ada hari di mana para wanita kita dihargai, maka tidak ada tarikh lain kecuali pada hari kelahirannya, iaitu kelahiran yang memanifestasikan keindahan mutlak seorang perempuan; moral dan spiritual.

Kelahiran yang mengangkat harakat martabat perempuan untuk naik menjulang ke langit samawi dengan takwa dan keimanan.

Kelahiran yang menjadikan segenap lapisan kaum hawa mempunyai kiblat untuk diteladani.

Lahirnya Fatimah az-Zahra adalah berkat dan rahmat Ilahi kerana wujudnya yang agung dan mulia telah mengakhiri mitos tentang rendahnya martabat kaum wanita dan seterusnya mengangkat darjat kaum hawa.

Jika ayahandanya, Rasulullah s.a.w. adalah ciptaan yang paling sempurna dan suaminya adalah lelaki yang mulia, maka Fatimah adalah wanita yang paling mulia.

Dialah yang mendapat gelaran Sayyidati Nisail Alamin - penghulu wanita semesta alam.

Senyum Fatimah adalah senyum yang menghilangkan duka lara Rasulullah s.a.w. Fatimah juga digelar al-Kauthar - telaga yang mengalirkan rahmat dan nikmat Ilahiyah kepada Rasulullah sehingga Allah menyeru baginda agar mensyukurinya.

Adalah kebanggaan tersendiri bagi wanita Muslim agar mampu menelusuri jejak langkah Fatimah yang sempurna dalam ketakwaan, akhlak dan ilmu.

Malah umat Islam tidak akan terbuai dengan semua agenda sambutan hari wanita yang dianjurkan oleh Barat, sekiranya dapat digantikan dengan perayaan mengingati peribadi dan kelahiran Fatimah.

Perkara ini telah dilaksanakan lebih awal oleh Iran ketika berjaya mencapai kejayaan Revolusi Islam 1979, apabila Ayatullah Imam Khomeini mengisytiharkan setiap 20 Jamadilakhir sebagai hari sambutan wanita Islam sedunia.

Ini kerana para wanita di seluruh dunia seharusnya bangga mempunyai Fatimah sebagai suri teladan mereka.

Puteri Rasulullah adalah wanita mulia yang hidup secara sederhana. Fatimah tinggal di sebuah rumah kecil, tempat beliau mendidik tunas-tunas insan kamil yang menampung pancaran cahaya Fatimah, cahaya yang menerangi segala yang wujud, daripada butir-butir pasir sahara hingga bintang-bintang di langit dan malaikat di jagat raya.

Rumah Fatimah adalah ruang singgahnya pancaran cahaya Ilahi serta tempat tumbuh dan besarnya manusia-manusia pilihan.

Walaupun kecil dan kosong daripada perhiasan, namun penuh dan kaya dengan kemanusiaan, di situlah rumah di mana berkumpulnya Muhammad sebagai datuk, Ali sebagai ayah, Hasan, Hussein, Zainab dan Ummu Kalthum sebagai anak-anak dan kasih sayang Fatimah sendiri sebagai pembentuknya.

Sebagai pendamping hidup Saidina Ali r.a., Fatimah juga tampil sebagai isteri yang ideal dan suri rumah yang penuh tanggungjawab.

Demikian besar peribadi Fatimah sehingga insan sehebat Saidina Ali r.a. merasa tenang dan damai di sisinya.

Pelbagai masalah yang timbul hari ini harus diselesaikan dengan bijaksana dan Islamik.

Wahyu tidak hanya menyajikan nasihat, tetapi menampilkan juga teladan. Salah satunya adalah Fatimah az-Zahra yang merupakan citra besar dan istimewa merangkumi politik, sosial dan jihad.

Kehidupan Fatimah adalah samudera yang diwarnai dengan perjuangan, kerja keras dan - terpenting - ialah syahadah.

Muslimah yang bekerja di luar rumah, sama ada sebagai doktor, pensyarah pengajian tinggi dan sebagainya yang sesuai pada tempatnya, namun tetap harus memberikan keutamaan di rumah.

Masalah keibuan dan status isteri dalam rumah tangga, merupakan hal yang amat fundamental dan penting.

Anda bukanlah wanita sempurna jika tidak dapat menangani amanah dalam rumah.

Kasih sayang memerlukan satu penggerak utama dan itulah wanita yang menjadi ibu kepada rumah tangga.

Tanpa kehadiran wanita ideal seperti Fatimah - rumah tangga akan kering tanpa makna.

Justeru pemikiran dan keperibadian Fatimah perlu difahami oleh masyarakat dengan pelbagai wacana dan diskusi ilmiah secara terdidik.

Monday, July 7, 2008

Status Wanita dalam Islam

Dari “Majmoo’ Fataawa wa Maqaalat Mutanawwiyah”

Status wanita muslim dalam Islam adalah sangat tinggi dan mulia, peranannya adalah sangat besar dalam kehidupan setiap muslim. Malah wanita muslim (muslimah) merupakan guru pertama dalam pembangunan ummah yang sempurna, bekalannya adalah petunjuk dari Al-Qur ‘an Al-Kareem dan Sunnah Rasulullah SAW. Al-Qur ‘an dan As-sunnah adalah merupakan panduan seluruh umat Islam – lelaki mahupun perempuan – dari terpesong dalam apa jua situasi..

Betapa pentingnya peranan wanita itu terletak pada berat dan sukarnya tanggungjawab yang dipikul dan diletakkan di atas bahunya – tanggungjawab dan sesetengah kesukaran yang tidak mampu lelaki pegang atau laksanakan. Sebab itulah pentingnya ke atas seseorang itu memperlihatkan rasa penghargaannya terhadap seorang ibu, dan berlaku baik serta menyayanginya. Dalam hal ini, kedudukan seorang ibu lebih tinggi dari kedudukan seorang bapa..

Abu Hurairah r.a meriwayatkan : Seorang lelaki datang menemui Rasulullah SAW dan berkata, “Wahai Rasulullah! Siapakah yang perlu aku perlakukan dengan baik?” Baginda berkata. “Ibumu.” Lelaki itu bertanya, ”Kemudian siapa?” Baginda berkata, ”Ibumu.” Kemudian lelaki itu bertanya lagi, ”Kemudian siapa?” Baginda berkata, ”Ibumu.” Lelaki itu bertanya lagi untuk kali keempat, ”Kemudian siapa?” Baginda berkata, ”Bapamu.” [Bukhari, Muslim]

Lihatlah betapa pentingnya seorang ibu diberi 3 kali penghargaan berbanding seorang bapa.

Sebagai seorang isteri, status dan peranannya adalah untuk ketenangan dan keamanan jiwa, hal ini jelas dinyatakan dalam ayat Al-Qur ’an yang mulia. Allah SWT berfirman:

”Dan di antara tanda-tanda Yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, Bahawa ia menciptakan untuk kamu (Wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya Yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang Yang berfikir.” [QS30. Ar-Ruum ayat 21]

...Jangan kita lupa pada Saidatina ’Aaishah r.a dan peranannya yang sangat besar. Sahabat-sahabat muktabar pun merujuk dan mengambil hadith-hadith darinya, dan kebanyakkan sahabiah juga mempelajari berbagai jenis hukum-hukum yang berkaitan dengan isu kewanitaan darinya...

Dan saya tidak mempunyai keraguan bahawa ibu saya – Semoga Allah merahmatinya – memainkan peranan yang sangat penting ke atas diri saya, dalam menggalakkan saya terus menuntut ilmu, dan membantu saya terus maju. Moga Allah SWT meningkatkan ganjaran kepadanya dan memberinya sebaik-baik ganjaran atas apa yang telah dilakukannya buat diriku.

Dan tidak ada keraguan juga, rumah yang di mana di dalamnya ada kebaikan, kelembutan, kasih sayang dan saling mengambil berat serta Tarbiyyah Islami yang jelas berjalan seiring memainkan peranan yang sangat besar dalam menghasilkan insan yang berperibadi mulia. Dengan izin Allah – akan menghasilkan orang yang berjaya dalam hubungannya dengan manusia dan Allah serta apa jua keadaan – sama ada dalam mencari ilmu pengetahuan, dalam jual beli (perniagaan), keperluan hidup atau yang selain darinya.

Oleh itu hanya pada-Nya saya memohon kebaikan dan petunjuk kepada kita semua dalam mencari kasih sayang dan keredhaan-Nya. Ya Allah, restuilah dan sejahterakanlah junjungan kami Nabi Muhammad SAW, keluarga dan para sahabat Baginda semuanya.

Amin, Ya Rabbal ’Aalamiin.

Shaikh Ibn Baz

Terjemahan dari Majalah Muslim Youth, Winter 2008,Issue 4, Page 9