Ya. Masanya pasti akan tiba. Semuanya ketentuan Allah S.W.T. Bila umur menginjak dewasa kita sering di tanya, ”Bila nak jemput mak cik makan nasi minyak?” atau ”Ni bila lagi?”. Semuanya berbentuk kiasan yang bahasa directnya ”Bila nak walimah?” Ana pasti ramai yang pernah mengalami, sedang mengalami dan akan mengalami situasi-situasi begini.
Setiap orang pasti mempunyai pendapat dan pandangan yang berbeza. Bila soal perkahwinan diperkatakan pada masa kini, ramai yang mengatakan perkahwinan yang di atur atau arrangement marriage sudah tidak lagi relevan. Muda-mudi sekarang sibuk mencari pasangan 'ideal’ atau 'mr/ms perfect’ atau apa saja istilahnya. Tapi sedarkah berapa banyak masa yang terbuang dan berapa banyakkah wang yang di baziri? Dan pelbagai lagi pembaziran yang tidak disedari. Pada realitinya, Islam adalah agama yang lengkap dengan jalan penyelesaian dalam setiap permasalahan hidup. Islam itu adalah agama fitrah, malah ia tidak memburukkan keadaan sesuatu permasalahan yang berlaku.
Cuba kita lihat sejenak suasana atau tatacara hidup di barat yang mengamalkan cara hidup bebas. Bagaimana saudara-saudara kita yang seIslam menghadapinya? Terutama para muslimin. Ujian dan dugaan yang mereka hadapi tidak kurang hebatnya. Mereka terpaksa menepis dan menghadapi pelbagai godaan yang datang menyerang di setiap penjuru. Sewaktu ke sekolah, ke tempat kerja malah sepanjang perjalanan mereka berhadapan dengan pelbagai bentuk godaan; di media massa dan di tempat kerja. Begitulah sebenarnya situasi yang kita hadapi walaupun majoriti kita mengaku beragama Islam.
Prophet SAW said, ”O young men, those among you who can support a wife should marry, for it restrains the eyes from casting (evil glances), and preserves one from immorality..." Bila kita betul-betul bersedia atau pun serius untuk melangkah ke alam perkahwinan, tanyalah diri kita – Pasangan yang bagaimanakah yang kita mahukan? Dan bagaimanakah kualiti yang perlu ada pada dirinya untuk melaksanakan tugas-tugas Islami dan kerukunan rumah tangga?
Bagi ana perkahwinan merupakan suatu perkara yang sangat serius dan memerlukan permulaan yang baik. Jika seseorang wanita dikahwini atas alasan yang tidak kukuh atau wrong reason sudah pasti ia boleh melemahkan institusi rumahtangga muslim (baitul muslim) itu sendiri. Ingatlah wanita yang dikahwini itu akan menjadi temanmu seumur hidup dan dia juga memainkan peranan membentuk peribadi anak-anak atau generasi yang bakal lahir. Janganlah dikahwini kerana hartanya (kekayaannya), tetapi kahwinilah dia kerana kekayaannya dalam perjuangan Islam dan kekayaan ilmu pengetahuan yang dimilikinya kerana ia bermanfaat untuk pembangunan ummah. Janganlah dikahwini kerana status dalam kehidupannya kerana ia adalah satu ilusi semata-mata, tapi pilihlah dia kerana statusnya pada pandangan Allah S.W.T. Jangan dipilih kerana kecantikan fizikal kerana kecantikan fizikal yang dilihat hanyalah pada luaran sahaja, tetapi pilihlah dia kerana kecantikan Iman yang ada pada dirinya kerana kecantikan Iman mengatasi segala-galanya.
Begitu juga sebaliknya apabila memilih si suami. Seorang lelaki apabila dikahwini pada alasan yang tidak kukuh boleh mewujudkan suasana yang sukar digambarkan dan penuh dengan penyesalan yang akan terbawa-bawa sepanjang kehidupan alam rumahtangga. Apabila kualiti keduniaan dan fizikal yang dicari (mempunyai jawatan yang gah di mata masyarakat, rupa yang kacak di tambah dengan berharta) tapi tanpa sifat-sifat Islam ia adalah sangat bertentangan dengan apa yang pernah Rasulullah S.A.W pesan.
Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a., ia berkata: Rasulullah bersabda:
“Wanita dinikahi karena empat perkara; karena hartanya, karena kedudukannya/keturunannya, karena kecantikannya dan kerana agamanya. Maka, pilihlah yang baik agamanya niscaya engkau beruntung.” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari (3/242), Muslim (2/1086), Abu Dawud (2047), an—Nasaa’i (6/68) dan Ibnu Majah (1858))
Hadith ini juga menjadi pedoman buat kita sebagai wanita apabila memilih kriteria calon suami. Kerana mereka yang baik agamanya dan lebih bertaqwa adalah mulia dan dipandang tinggi di sisi Allah S.W.T. Firman Allah S.W.T:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ (١٣
13. Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu Dengan Yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang Yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan Yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu). [QS49. Al-Hujuraat ayat 13]
Mungkin ada daripada kita yang berfikir dirinya mampu memperbaiki peribadi atau sifat pasangannya kemudian hari, sebenarnya kesemua konsep yang salah sering dipegang oleh kebanyakan daripada kita tidak kiralah samada lelaki mahupun perempuan. Semuanya bermula dengan pemilihan kriteria seseorang itu, pegangan agamanya dan yang paling penting cara permulaan yang dipilih samada cara yang diredhai atau cara yang tidak diredhai. Jika permulaan yang dipilih adalah baik, InsyaAllah ia akan mewarnai perhubungan yang diredhai Allah S.W.T.
Jangan lupa untuk memohon pada-Nya agar di pertemukan dengan pasangan yang diredhai-Nya. Sewaktu berdoa, sebutlah nama-nama indah yang di miliki-Nya (Asma Allah). Mintalah pada-Nya teman hidup yang taat dan patuh pada agama dan perintah-Nya, penyabar dan sebagainya. Salah satu doa yang terdapat dalam Al-Qur’an:
وَالَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا (٧٤
74. dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) Yang berdoa Dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah Kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara Yang menyukakan hati melihatnya, dan Jadikanlah Kami Imam ikutan bagi orang-orang Yang (mahu) bertaqwa. [QS25. Al-Furqaan ayat 74]
Ana tak mampu nak bagi kesimpulan yang sebaik mungkin. Cuma apa yang boleh ana katakan; letaklah pengharapan dan kepercayaan sepenuhnya pada kekuasaan dan rahmat Allah S.W.T dalam kehidupan kita. Dia Maha Mengetahui segala yang tersembunyi. Semoga Allah membantu kita dalam usaha mematuhi perintah dan syariat-Nya serta sunnah Kekasih-Nya (Nabi Muhammad S.A.W), dan menemukan kita dengan pasangan yang diredhai-Nya.
Allah S.W.T berfirman:
وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ (١٨٦
186. dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang Yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul. [QS2. Al-Baqarah ayat 186]
Dari firman-Nya telah dinyatakan berdoalah untuk memohon pertolongan dari-Nya sesunggunya Allah itu sentiasa hampir dengan kita. Tapi pastikan kita juga mencari "the one” dan bukan hanya sekadar berdoa tanpa melakukan sebarang ikhtiar. Maksud ana mintalah bantuan Mas’ul Halaqah, ibubapa, saudara mara mahupun sahabat handai yang theqah. Ingatlah doa itu adalah kekuatan orang-orang mukmin dan jangan lupa melengkapkan diri kita dengan ilmu-ilmu milik Allah sebagai persediaan dalam memenuhi keperluan menuju alam perkahwinan.
Ya Allah bantulah sahabat-sahabat dan sahabiah-sahabiahku di luar sana dalam mencari pasangan untuk melengkapkan separuh dari iman mereka. Amen..
Oleh: Fatimahtuzzahrak bt Mohamad