Kebimbangan hal-hal sebegini pernah diluahkan oleh seorang pelajar arab pada ana. Dia tak senang melihat cara pemakaian kaum wanita sekarang yang agak menjolok mata, pergaulan bebas yang tidak ada batasan antara lelaki dan perempuan. Rasa kasihannya pada sesetengah kaum adam yang tidak kuat menahan godaan dari kaum hawa yang berpakaian tapi pada hakikatnya masih belum menutup aurat, pada lenggok badan dan suara yang sengaja dilunak-lunakkan. Bagaimana kita meneruskan kehidupan untuk menghadapi suasana-suasana begini? Adakah kita perlu mengasingkan diri dari masyarakat bagi mengelakkan godaan-godaan seperti ini?
Tidak. Secara nyata, Allah sebenarnya telah membekalkan kita bekalan yang secukupnya untuk menghadapi setiap ujian dan kesukaran dalam kehidupan kita. Arahan supaya kita menjaga pandangan bukanlah sekadar ‘fatwa’ dari sesetengah ilmuan yang di anggap ‘konservatif’ dari timur tengah. Sedangkan dengan jelas dan nyata telah ditegaskan dalam Al-Qur’an dan hadith Rasulullah s.a.w.
Kenapa Renungan Mata yang Penuh Bermakna itu Salah?
Kebanyakan dari kita ada yang tak pernah ketinggalan menonton drama-drama bersiri seperti Izora, atau asyik menghayati fantasi filem Bollywood ataupun seronok dengan rakan-rakan yang berlawanan jantina. Tak terfikirke kita kenapa renungan atau pandangan mata kita pada pada jantina yang berlawanan dengan kita adalah salah sebenarnya? Ingatkah kita tentang sabda Rasulullah s.a.w?
Rasulullah s.a.w bersabda:
Dalam diam-diam jelingan itu adalah panahan beracun Iblis. Siapa yang meninggalkannya kerana takutkan Allah nescaya akan Allah gantikan ia dengan iman dan dia akan memperoleh kemanisan dalam hatinya. (hadis riwayat at Tabrani dan al Hakim)
Oleh sebab itu, mengapa Rasulullah s.a.w samakan pandangan atau renungan mata yang mengandungi sesuatu maksud itu sebagai panahan beracun syaitan:
- Meracuni hati-hati kita
- Merosakkan niat kita
- Memberi harapan dan keinginan yang palsu
- Memesongkan persepsi atau tanggapan kita pada keadaan ‘realiti’
- Menghilangkan kekhusyukkan kita di dalam solat
- Menyebabkan kita rasa bersalah dan sedih yang berterusan
- Kadang-kadang menyebabkan tidur kita tidak nyenyak/lena
- Menjadikan hati kita lemah pada gangguan syaitan yang berterusan
- Menggalakkan sifat kepura-puraan (hipocrisy) wujud dalam diri
- Melemahkan daya ingatan
- Akhirnya mendorong kepada zina ( zina hati, mata, lidah, tangan dan seterusnya)
- Kesemua kesan-kesan di atas menghilangkan rasa takut dan cinta kita kepada Allah s.w.t
"Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki Yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang Yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa Yang mereka kerjakan." [QS24. Annur ayat 30]
Ayat berikut juga turut di tujukan untuk wanita-wanita yang beriman.
- Ganjaran yang sangat besar dalam melawan godaan adalah peningkatan iman, nikmat yang hanya dapat dirasai oleh diri kita! Tingkatkan iman setiap masa kerana ia dapat menolong kamu melawan atau menahan perjalanan impian-impian yang hanya khayalan semata-mata.
- Bila kita betul-betul menggerakkan hati mengingati keampunan Allah, perintah dan suruhanNya; hatimu tidak akan senang bila kamu mengingkari perintahNya. Allah s.w.t akan memudahkanmu untuk keluar dari situasi-situasi yang menyulitkan tanpa penyesalan, tekanan dan kekecewaan.
“... dan sesiapa Yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari Segala perkara Yang menyusahkannya),” [QS65. Ath Thalaaq ayat 2] - Ia juga turut memberi kesan yang sangat istimewa pada peribadi kita, kerana hati ibarat cermin dan keinginan-keinginan/impian-impian yg hanya sementara itu umpama kekotoran yang melekat di cermin tersebut, perubahan yang dipantulkan menunjukkan keadaan diri kita yang sebenar. Keluarga dan teman-teman pasti akan melihat kelainannya!
- Kekerapan penglihatan kita ke arah pemandangan yang melanggar syara’ lagi berbaur nafsu akan memenatkan dan merosakkan hati dan kedua-dua mata kita. Hati menjadi sakit dan tertahan selepas seketika. Bagaimanapun, bila mata dihalang daripada melihat pemandangan yang melanggar syara’, hati kembali merasa lega (daripada penyakit) dari tugas yang sangat sukar yang hampir mempengaruhi fikiran dan peribadimu.
- Rasulullah s.a.w pernah bersabda pada para sahabat:
“Demi Allah! Barangsiapa yang meninggalkan sesuatu kerana takutkan Allah, nescaya Allah gantikan ia dengan sesuatu yang lebih baik dari itu!”
Jika kita bersabar kat dunia ni, Allah akan gantikan dengan yang lebih baik yang kita sendiri tak dapat bayangkan. Betapa indahnya bila kita tinggalkan sesuatu kerana Allah.
18 Cara untuk Menghadapi Hidup di Dunia yang Penuh dengan Godaan
Ya, ana akui memang sukar bila setiap masa kita berhadapan dengan pelbagai jenis godaan dan dugaan yang boleh menggugat keimanan diri. Tepuklah dada tanya iman, manisnya dugaan terasa bila kita anggap itu adalah ujian dan didikan dariNya. Dari papan-papan iklan di sekeliling, media massa mahupun media cetak yang penuh dengan imej-imej atau gambaran yang tidak syarie; penghias wajah media cetak yang terdiri dari lelaki ataupun perempuan dengan berpakaian yang sangat menggairahkan sesiapa yang melihat; atau penekanan yang berterusan secara halus mahupun terang-terangan dalam tayangan-tayangan filem yang mengandungi unsur-unsur seks (walaupun dalam Toy Story ataupun Spiderman!); atau pautan-pautan (link) pornografi di internet yang merebak tanpa kita sedari. Adakalanya kita sendiri menerima email-email yang yang tidak sepatutnya dari orang yang tidak bertanggungjawab walaupun email-email tersebut terus ke spam inbox. Bagaimana kita melindungi diri kita dari perkara-perkara begini?
- Jangan lupa pada kekuatan mengingati ALLAH (Zikir)! Ia adalah salah satu kekuatan yang sangat besar untuk melindungi diri kita. Sentiasalah berdoa kepada Alah s.w.t kerana dengan berdoa dapat membina ketaqwaan diri dan menjadikan kita sentiasa menitik beratkan soal apa yang boleh dilihat sebagai hiburan.
- Ingatlah tanggungjawab kita kepada ALLAH. Dalam Islam, kita sepenuhnya dipertanggungjawab atas setiap perlakuan atau perbuatan kita setelah mencapai umur aqil baligh. Mata kita akan menjadi saksi di akhirat kelak atas apa yang kita lihat di dunia malah setiap anggota badan adalah saksi kita. Maka jagalah amanah yang telah Allah berikan pada kita semua.
- Sentiasa menundukkan (memelihara) pandangan. Tapi janganla sampai langgar tiang lampu kat jalan pula! Menundukkan pandangan tidak bermakna kita tak boleh ada eye contact walaupun kita berjalan atau semasa kita bercakap dengan seseorang. Maksudnya kita sentiada menjaga atau memelihara atau mengawal pandangan kita. Jangan melihat pada lelaki mahupun perempuan yang bukan muhrim.
- Pilih tempat duduk yang betul. Bila kita ke tempat awam (cth kafe), pilihlah tempat duduk yang meminimumkan pandangan kita dan kalau boleh elakkan diri dari percampuran ramai antara lelaki dan perempuan. Dengan lebih tepat elakkan dari pandangan yang kita rasa selesa terutama bila melihat sesuatu yang menarik pada seseorang yang sedang melintas di depan kita – Sebab itu Rasulullah SAW pernah bersabda, "Wahai Ali janganlah pandangan (yang kedua) menuruti pandangan (yang pertama) kerana sesungguhnya pandangan pertama itu adalah bagimu sedang yang kedua tidak (berdosa)." (Ahmad, Abu Dawud, At-Tirmidzi)
- Bergaullah dengan orang-orang yang berperibadi mulia dan mempunyai kerendahan hati. Bila kita bergaul dengan orang-orang yang baik peribadinya, Insya Allah mereka akan mengingatkan kita supaya menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang tidak disukai Allah.
Dari Abu Hurairah Radhiyallahu Anhu bahawa Nabi SAW bersabda, “Seseorang itu mengikuti agama temannya, maka seseorang harus melihat dengan siapa dirinya berteman.” (Diriwayatkan oleh Abu Daud dan At-Tirmidzi dengan isnad yang shahih. At-Tirmidzi berkata, “Hadith hasan”) - Jauhilah diri dari kawan-kawan yang membawa kepada cerita-cerita yang tidak bermoral, hiburan-hiburan yang melalaikan, lawak jenaka yang berunsur lucah dll. Ana tak nafikan suasana seperti ini wujud. Sebab itu penting untuk kita menjauhi aktiviti-aktiviti tersebut. Setiap aktiviti-aktiviti tersebut adalah umpan-umpan syaitan pada hakikatnya. Syaitanlah yang menimbulkan idea ‘cinta pada luaran’ atau ‘cinta pandang pertama’. Teringat ana pada penyampaian Abu Munzir, “CINTA suci itu terlalu mulia takrifnya,ianya hanya layak untuk pasangan yg bergelar SUAMI ISTERI sahaja..'CINTA' sebelum kahwin itu bukanlah 'CINTA' namanya..tetapi NAFSU semata-mata::..~SYEIKH AHMAD FATHI ATTHOHIR”. Tambahan Abu Munzir lagi cinta yang di gembar-gemburkan sekarang; cinta sebelum perkahwinan bukanlah JATUH CINTA tetapi JATUH NAFSU. Kawan-kawan seperti ini akan membawa kita pada dunia yang penuh dengan khayalan dan harapan-harapan palsu, yang jauh dari realiti sebenar, sebelum ia terlambat! Oleh sebab itu sama ada kita menolong kawan-kwan kita berubah melalui nasihat-nasihat yang berhikmah atau kurangkan pergaulan kita dengan mereka.
"Dan sesiapa Yang tidak mengindahkan pengajaran (Al-Quran Yang diturunkan oleh Allah) Yang Maha Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu Temannya Yang tidak renggang daripadanya." [QS43. Az-Zukhruf ayat 36] - Elakkan dari pergi ke pusat membeli-belah dan taman-taman rekreasi berseorangan. Seboleh-bolehnya keluarlah dengan ahli keluarga atau kawan baik yang boleh menemani dan membantu mengingatkan kita agar menjaga pandangan daripada billboard atau papan iklan yang memaparkan model-model dengan posing dan pakaian yang menggairahkan. Keluarlah bila hanya kita rasa perlu untuk keluar.
- Layari internet atau tontonlah TV bila ada orang di sekitar. Kadang-kadang tanpa kita sedar godaan dan potensi untuk kita curi-curi melihat gambar-gambar yang tidak elok adalah tinggi bila kita bersendirian menonton TV atau melayari internet. Target utama syaitan adalah orang yang sentiasa bersendirian! Cuba leakkan diri menonton TV hingga lewat malam dan melayari internet tanpa tujuan.
- Jangan sesekali ‘Tak dak apa nak buat!’ Syaitan suka pada orang yang ‘kebosanan dan malas’. Jika kita rasa bosan, apa kata kita tolong mak kita basung pinggan ke buang sampah ke atau kita baca buku-buku tentang sirah, agama, dll.
"Dan belanjakanlah (Apa Yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) ugama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke Dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya Segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berusaha memperbaiki amalannya." [QS2. AlBaqarah ayat 195] - Menjadi Sukarela dalam organisasi-organisasi Islam. Salah satu cara jihad melawan suasana yang tidak bermoral adalah dengan melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti yang sihat dalam komuniti contoh menjadi sukarelawan/wati dalam membantu mangsa-mangsa banjir, saudara-saudara baru (mualaf). Penglibatan kamu dengan aktiviti-aktiviti tersebut bersama jalinan ukhuwah dari sahabat/sahabiah yang sama-sama berjuang untuk kebaikan. Keadaan ini menjadikan minda, tenaga dan pemikiran kita jauh dari fokus kepada benda-benda yang Haram.
- Baca, Baca dan Baca! Jom kita baca sebanyak yang mungkin buku-buku dan artikel-artikel yang berkaitan Islam. Jangan lupa Al-Qur'an, apa kata kita fahaminya. Membaca membuatkan fikiran dan mata kita sentiasa sibuk! Ia sekaligus menjadikan kita cenderung untuk hidup dalam suasana Islam dan turut mengukuhkan hubungan kita dengan Allah.
- Sentiasa mengingati bahawa kehidupan dan kecantikan di dunia hanyalah sementara dan kehidupan di akhirat adalah kekal abadi.
Dari Anas Radhiyallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Ya Allah, tidak ada kehidupan melainkan kehidupan akhirat.” (Muttafaq alaih) - Sentiasa memerhati alam ciptaan Allah dan mengaitkan dengan kehidupan (berfikir) untuk menguatkan kekuatan diri dan mengawal hawa nafsu. Rasulullah SAW menggalakkan kita berfikir dan menjadikan ia sebagai satu kebiasaan (habit).
- Jika kamu mampu dan bertanggungjawab, maka kahwinlah kerana Allah. Ia merupakan salah satu perkara yang paling berkesan, adakalanya sangat mencabar sebagai salah satu cara atau mekanisma untuk melawan godaan-godaan sekeliling. SabdaRasulullah SAW, "Wahai golongan pemuda! Barangsiapa diantara kamu mampu berkahwin, hendaklah dia berkahwin; kerana yang demikian itu menundukkan pandangan dan amat memelihara kehormatan tetapi barangsiapa tidak mampu berkahwin, maka hendaklah dia berpuasa, kerana (puasa) itu menahan nafsu baginya."
- Khas untuk brothers, INGATLAH IBU, KAKAK dan ADIK PEREMPUAN KAMU. Menjijikkan kan? Betul! Tak munasabahkan orang yang melihat atau memandang ibu atau kakak atau adik perempuannya seperti mana dia melihat/memandang kebanyakan perempuan di media-media massa dan cetak atau sepertimana dia memerhatikan saudara muslimah dalam seharian mahupun dalam majlis-majlis ilmuan dll. Jika semua kaum lelaki berfikir dulu apa yang akan dia rasa jika perkara yang sama dilakukan oleh kaumnya sendiri pada ibu, kakak atau adik perempuannya tentu akan menjadikan kamu rasa sakit, geram dan seterusnya berhenti memandang dengan pandangan yang berbaur nafsu. Insya Allah.
- Ingatkan selalu dirimu pada kematian dan hari Qiamat. Ingatlah selalu pada kematian dan tentang apa pun kejadian setelah kematian (termasuklah hari Qiamat) sepertimana yang diberitakan oleh Nabi Muhammad SAW.
- Tingkatkan amalan yang baik. Dari Abu Dzar, Jundub bin Junadah, dan Abu Abdurrahman Muadz bin Jabal Radhiyallahu Anhuma, dari Rasulullah SAW, beliau bersabda, “Bertaqwalah engkau kepada Allah di mana saja engkau berada. Sertailah (tutuplah) keburukan itu dengan kebaikan, nescaya kebaikan tadi akan menghapuskan keburukan, dan pergaulilah manusia dengan akhlak yang baik.” (Diriwayatkan At-Tirmidzi. Dan ia berkata, “Hadith ini hasan”)
- Menyesal dan kembalilah kepada Allah s.w.t. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang kepada hamba-hambaNya yang kembali(bertaubat) kepadaNya dan berjanji tidak akan mengulangi dosa-dosanya.
“Dan Wahai kaumku! mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat kepadaNya, supaya ia menghantarkan kepada kamu hujan lebat serta menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu Yang sedia ada; dan janganlah kamu membelakangkan seruanku Dengan terus melakukan dosa!” [QS11. Huud ayat 52]
Terjemahan dari “Watch out for that Arrow!” karya Morshed Abdul Ala.
Rujukan:
1. Syarah Riyadus Shalihin, karya Syaikh Muhammad Al-Utsaimin
2. Hadith 40, karya Iman An-Nawawi
1 comment:
Assalamualaikum t.kasih share..
Post a Comment