Showing posts with label Ramadhan. Show all posts
Showing posts with label Ramadhan. Show all posts

Tuesday, September 23, 2008

SURAH AL QADR



إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ (١)وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ (٢)لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ (٣)تَنَزَّلُ الْمَلائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِمْ مِنْ كُلِّ أَمْرٍ (٤)سَلامٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ (٥

1. Sesungguhnya telah Kami telah turunkannya (Al-Qur ‘an) pada Lailatul-Qadar,
2. Tahukah engkau apa Lailatul-Qadar itu?
3. Lailatul-Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan.
4. Turun malaikat dan Al-Ruhu’ (Jibrail) padanya (Lailatul Qadar) dengan izin (perintah) Tuhan mereka (iaitu Allah), kerana membawa segala perkara (yang dihukumkan Allah pada malam itu);
5. sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!
[QS97:1-5]

Malam yang Lebih Baik dari Seribu Bulan


Allah S.W.T. menerangkan pada kita bahawa Dia telah menurunkan Al-Qur’an pada malam Al-Qadr (Lailatul Qadar), dan ia merujuk pada Firman-Nya:

إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ (١


"Sesungguhnya telah Kami telah turunkannya (Al-Qur ‘an) pada Lailatul-Qadar," [QS97:1]

Lailatul Qadar adalah satu malam daripada bulan Ramadhan, dinyatakan dari Firman-Nya:

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ وَمَنْ كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ (١٨٥


(Masa Yang Diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan Yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan Yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara Yang benar Dengan Yang salah. oleh itu, sesiapa dari antara kamu Yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa Yang sakit atau Dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari Yang ditinggalkan itu pada hari-hari Yang lain. (dengan ketetapan Yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur. [QS2:185]

Ibn ’Abbas, di anatara yang lainnya menjelaskan bahawa di sini Allah menerangkan bahawa malam pertama diturunkan sekelian al-Qur’an dari Lawh Mahfuz ke langit dunia adalah pada Lailatul Qadar. Kemudian dihantarkan ke Baitul Izzah maka kemudian diturunkan oleh Malaikat Jibrail kepada Nabi Muhammad S.A.W secara berperingkat-peringkat.

Seterusnya Allah berfirman dalam rangka menegaskan kelebihan Lailatul Qadar yang dipilih sebagai malam pertama diturunkan Al-Qur’an:

وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ (٢)لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ (٣


2. Tahukah engkau apa Lailatul-Qadar itu?
3. Lailatul-Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan.
[QS97:2-3]

Merujuk pada Asbabun Nuzul (Sebab-sebab diturunkan ayat ini). Mujahid berkata: Rasulullah S.A.W menceritakan seorang dari Bani Israil memanggung senjata untuk berhijad fisabilillah selama seribu bulan. Cerita itu sangat mengagumkan para sahabat. Tiba-tiba Allah menurunkan surah Al-QADR ini, yang dalamnya menyatakan bahawa beribadat pada malam Al-Qadr adalah lebih baik dari seribu bulan. (Hadith Riwayat Ibnu Hatim)

Dalam hal menentikan Lailatul Qadar ini para Ulama telah berselisih dalam menentukannya. Ada yang mengatakan bahawa Lailatul Qadar terjadi pada satu malam daripada 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan, iaitu malam ke 20 hingga malam yang ke 30 dari bulan Ramadhan. Terdapat hadith daripada Nabi S.A.W menerangkan bahawa Lailatul Qadar berlaku pada malam yang ganjil daripada 10 malam yang akhir, iaitu malam ke 21, 23, 25,27 atau 29.

Dilaporkan oleh Jaabir ibn ’Abdillah, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: "Tanda malam Lailatul Qadar iailah suasana malamnya bersih hening, terang seakan-akan ada bulan, tidak terasa sejuk atau panas, dan tidak ada bintang yang dilemparkan kepada syaitan hingga fajar dan paginya matahari terbit tiada dengan bercahaya panas, dan ia seakan-akan bulan purnama” (Diriwayatkan Ibnu Hatim)

Saidatina ’Aisyah r.a berkata: "Adanya Nabi S.A.W. jika masuk malam-malam yang akhir (daripada bulan Ramadhan iaitu malam 21, 23, 25, 27, 29) dari malam 21-30 membangunkan para isteri baginda untuk beribadat dan Rasulullah sendiri pada malam-malam tersebut lebih kuat beribadat.”

Saidatina ’Aisyah r.a bertanya Rasulullah S.A.W.: "Ya Rasulullah, jika aku mendatangi Lailatul Qadar maka apa yang sebaiknya untuk aku berdoa?” Maka jawab Rasulullah S.A.W, "Bacalah 'Allahumma innaka afuwun tuhibbul afwa fa’fu anni’ (ya Allah, Engkaulah Maha pengampun, maka maafkanlah aku)” (Hadith Riwayat Ahmad, At-Tirmizi, An-Nasa’i, Ibnu Majah).



Diterjemah dan diedit oleh Fatimahtuzzahrak binti Mohamad.

Rujukan dari Tafsir Ibn Kathir dan Tafsir Juz Amma.

Tuesday, September 2, 2008

Ramadhan Penghulu Segala Bulan

Segala puji bagi Allah S.W.T, selawat dan salam buat Junjungan Mulia, Nabi Muhammad S.A.W, keluarga baginda, para sahabat dan para tabiin.

Selepas sebelas bulan manusia memenuhi keperluan material, kehendak dan keperluan hidup; Allah ciptakan bulan Ramdhan setiap tahun hanya sekali untuk rohani atau jiwa ataupun ruh kita menuntut haknya dari segala keperluan asasi manusia.

Ini adalah masanya untuk rohani atau jiwa kita mendapatkan makanan, ubat dan pemulihan.

Berpuasa di bulan Ramdhan adalah merupakan satu latihan pada diri seseorang untuk mengawal kehendak dan melawan hawa nafsunya. Jika orang-orang yang beriman boleh mengawal dirinya dari perkara yang halal ketika berpuasa, apatah lagi dari perkara yang di haramkan ke atasnya.

Rasulullah S.A.W turut menyampaikan berita gembira pada barangsiapa yang berpuasa – berita – berita tentang ganjaran dan pahala yang Allah sediakan untuk mereka. Antaranya:

Malaikat-malaikat memohon keampunan buat mereka pada siang mahupun malam hari. Bau pernafasan (mulu) dari orang-orang yang berpuasa adalah sangat disukai Allah lebih daripada wangian kasturi.

Pelbagai lagi ganjaran yang Allah berikan sehingga tidak terhitung banyaknya.

Tambahan lagi atas setiap ganjaran yang diberikan; Puasa seolah-olah ibarat sebuah Kolej Keimanan yang tiada taranya. Di dalamnya terbahagi kepada pelbagai jabatan atau pusat termasuklah; Jabatan Ketaqwaan, Kebaikan, Al-Qur’an, Pengorbanan, serta Jabatan Belas Kasihan dan Hormat.

Jadi kita semua kena lulus dengan cemerlang atau seboleh-bolehnya mumtaz dalam setiap jabatan tadi supaya Insya Allah puasa kita diterima-Nya. Sebabnya puasa bukan hanya menghindarkan kita dari makan dan minum pada masa yang ditetapkan tetapi yang paling penting ialah menghalang atau menghindarkan diri kita dari perkara-perkara yang menjadi larangan termasuklah perkara-perkara yang dilarang ketika berpuasa.

Terdapat 3 jenis puasa:

Puasa biasa atau kebanyakan :
Ini adalah puasa kebanyakan orang; puasa mereka hanya sekadar menahan lapar dan dahaga tetapi anggota lainnya tidak berpuasa.

Puasa yang istimewa:
Puasa yang bukan hanya menahan lapar dan dahaga tetapi juga seiring dengan mengawal pandangan atau penglihatan (mata), pendengaran (telinga), percakapan (lidah), tangan dan kaki dari perkara yang diharamkan.

Puasa yang lebih istimewa:
Puasa ini adalah puasa yang terbaik berbanding segala jenis puasa. Ia bukan sekadar menahan dari lapar, dahaga serta mengawal pandangan mata, pendengaran, percakapan, pergerakan tangan dan kaki dari perkara yang diharamkan. Malah orang-orang yang beriman ini berpuasa dengan kehadiran hatinya. Mereka tidak memikirkan selain dari Allah dan hanya Allah dan kerana Allah, jadilah puasa mereka hadir dengan kebersamaan hati dan anggota lahir.

Marilah kita semua sambut kedatangan penghulu segala bulan ini dengan memperbaiki hubungan dengan Allah S.W.T dan memohon keampunan (bertaubat) pada-Nya serta membaca Al-Qur’an Al-Kareem. Tambahan lagi jangan lupa memperbaiki hubungan sesama kita untuk mengikatkan ukhuwah kerana-Nya dan menyemarakkan kasih sayang dan keharmonian sehingga kita kembali pada-Nya, Insya Allah, dengan rahmah-Nya di dalam bulan Ramadhan.

Dipetik, diterjemah dan diedit dari article ”Ramadan, A Masters of Months” by Sheikh Tajjeddine El-Hilaly

The Message Magazine, Volume 4, Issue 2&3, Ramadan Issue 2006

p/s: Jangan Lupa Click Reader's Poll kat sebelah kiri

Ramadhan yang penuh keberkatan

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

Sekali lagi…

Dalam putaran bumi mengelilingi matahari yang mengambil masa 365 hari; musim silih berganti, masa berganti masa, hari berganti hari, akhirnya bersua kita dengan bulan yang sangat mulia iaitu Ramadhan...


Bulan yang penuh keberkatan, yang mendekatkan semua muslim dalam melengkapkan salah satu daripada rukun Islam; berpuasa di bulan Ramadhan. Bulan yang disebut oleh Allah, Pencipta Syurga dan Bumi di dalam Al-Qur’an Al-Kareem. Ramadhan juga adalah bulan yang penuh dengan ganjaran; bulan yang disebut-sebut Baginda Rasulullah S.A.W dan bulan untuk kita meningkatkan amalan kita agar dekat pada-Nya. Pada bulan yang diberkati ini, Allah S.W.T mengganjari setiap muslim dengan pahala yang berganda-ganda dalam usaha kita mentaati perintah-Nya. Ini merupakan satu anugerah yang tidak terhingga pada umat Islam; bulan yang permulaannya rahmah dan pertengahannya maghfirah serta penghujungnya, pembebasan dari api neraka.

Mungkin ada yang mempersoalkan dan menyatakan : Apa yang hebatnya bulan Ramadhan? Apa yang menyebabkan ia istimewa berbanding bulan-bulan yang lain? Saya boleh berpuasa bila-mana-mana hari dalam mana-mana bulan; Saya juga boleh menderma atau bersedekah bila-bila masa dan sebagainya.

Sebagai jawapan pada persoalan dan pernyataan tersebut; apa kata tarik nafas dalam-dalam dan hembus.. Tumpukan perhatian mata dan hati kita pada ayat-ayat-Nya. Firman-Nya, Yang Maha Mengetahui tentang bulan Ramdhan:


شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ وَمَنْ كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ (١٨٥


(Masa Yang Diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan Yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan Yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara Yang benar Dengan Yang salah. oleh itu, sesiapa dari antara kamu Yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa Yang sakit atau Dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari Yang ditinggalkan itu pada hari-hari Yang lain. (dengan ketetapan Yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur. [QS2. Al-Baqarah: 185]

Al-Qur’an adalah ayat-ayat Allah dan kitab terakhir yang menjadi panduan hidup untuk semua manusia yang diwahyukan pada Nabi Muhammad S.A.W. Al-Qur’an terkandung pelbagai khabar berita mengenai kisah umat-umat terdahulu iaitu sebelum kita dan juga khabar mengenai masa akan datang serta mengenai Nabi-nabi serta rasul-rasul-Nya. Di dalamnya diterangkan tentang penciptaan syurga-syurga-Nya, hukum-hukum atau syariat-Nya sebagai panduan hidup kita, dan perkara-perkara yang perlu kita percaya atau imani. Al-Qur’an adalah sumber utama para muslimin dan muslimat, di dalamnya terdapat panduan dan penyelesaian bagi setiap permasalahan yang dihadapi oleh manusia. Di dalamnya juga terdapat ubat bagi menyembuhkan setiap hati dan ia juga sumber kegembiraan bagi setiap rohani.

اللَّهُ نَزَّلَ أَحْسَنَ الْحَدِيثِ كِتَابًا مُتَشَابِهًا مَثَانِيَ تَقْشَعِرُّ مِنْهُ جُلُودُ الَّذِينَ يَخْشَوْنَ رَبَّهُمْ ثُمَّ تَلِينُ جُلُودُهُمْ وَقُلُوبُهُمْ إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ ذَلِكَ هُدَى اللَّهِ يَهْدِي بِهِ مَنْ يَشَاءُ وَمَنْ يُضْلِلِ اللَّهُ فَمَا لَهُ مِنْ هَادٍ (٢٣

Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan Iaitu Kitab suci Al-Quran Yang bersamaan isi kandungannya antara satu Dengan Yang lain (tentang benarnya dan indahnya), Yang berulang-ulang (keterangannya, Dengan berbagai cara); Yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang Yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah. Kitab suci itulah hidayah petunjuk Allah; Allah memberi hidayah petunjuk Dengan Al-Quran itu kepada sesiapa Yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan (ingatlah) sesiapa Yang disesatkan Allah (disebabkan pilihannya Yang salah), maka tidak ada sesiapa pun Yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadaNya. [QS39. Az-Zumar: 23]

Al-Qur’an adalah kitab terakhir dari Pencipta seluruh Alam untuk keturunan Nabi Adam A.S. Ia adalah sumber makanan rohani atau jiwa untuk mengekalkan kesegarannya. Sebagaimana jasad atau anggota fizikal kita memerlukan pada makanan dan minuman jadi begitu juga rohani kita memerlukan sumber untuk mengekalkan kesejahteraannya. Jasad manusia diciptakan dari tanah yang di dalamnya terkandung pelbagai sumber dari bumi seperti garam mineral, zat besi, kalsium dan sebagainya; jadi makanannya juga adalah berasal dari bumi. Begitu juga rohani kita yang diciptakan di syurga dan sudah tentu makanannya turut berasal dari syurga.

Cuba tanya diri kita, bila kali terakhir kita membaca Al-Qur’an? Tentu ada daripada kita yang mengatakan kali terakhir dia membaca al-Qur’an adalah pada bulan Ramadhan tahun yang lepas, dan jangan terkejut bila ada yang menyatakan yang dia sudah lama tidak membaca Al-Qur’an. Hal ini sebenarnya sangat menyedihkan bila sebilangan ummah meninggalkan Al-Qur’an, dalam erti kata tidak meluangkan walaupun sesaat untuk membacanya dan apatah lagi untuk cuba memahami dan mengamalkannya.


لَقَدْ أَضَلَّنِي عَنِ الذِّكْرِ بَعْدَ إِذْ جَاءَنِي وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِلإنْسَانِ خَذُولا (٢٩

"Sesungguhnya dia telah menyesatkan daku dari jalan peringatan (Al-Quran) setelah ia disampaikan kepadaKu. dan adalah Syaitan itu sentiasa mengecewakan manusia (yang menjadikan Dia sahabat karibnya)". [QS25. Al-Furqaan: 29]

Jadi wahai saudara-saudaraku, jadikan saat ini sebagai saksi bermulanya kita membaca Al-Qur’an. Bermulalah dengan beberapa ayat dan perlahan-lahan tingkatkan bilangan ayat-ayat yang dibaca. Kepada sesiapa yang tidak tahu membaca, carilah guru mengaji (Al-Qur’an); mintalah pertolongan rakan-rakan ataupun kunjungilah masjid-masjid yang berdekatan dan Insya Allah akan kamu temui seseorang yang lebih daripada sanggup untuk mengajarmu. Setiap daripada muslimin dan muslimat Mesti Cuba Mempelajarinya! Kita mesti berusaha sehingga kita mampu menguasainya mahupun memperbaiki bacaan kita. Pada mulanya mungkin terasa berat, sukar dan sebagainya tetapi ingatlah apa jua perjalanan yang kita tempuhi kesemuanya bermula dengan selangkah demi selangkah (contohnya waktu kita mula belajar berjalan atau bertatih – selangkah demi selangkah sehingga kita mampu berjalan dan seterusnya berlari). Begitu juga dalam mempelajari Al-Qur’an, dengan bermula dari langkah pertama. Insya Allah akan dipermudahkan bila kita ikhlas mempelajari Al-Qur’an.

Ganjaran yang Allah berikan dengan membaca dan memahami Al-Qur’an adalah sangat besar, tidak ada apa pun di dunia yang mampu memberi ganjaran yang sama dengan pemberian-Nya. Tambahan Ramadhan adalah bulan Al-Qur’an, di mana ganjaran atau pahala yang diberikan berlipat ganda dan pintu-pintu syurga dibuka dan pintu-pintu neraka ditutup. Marilah kita semua sama-sama mendekatkan diri pada-Nya dengan membaca Al-Qur’an, memahami Al-Qur’an, menghafaz dan mengamalkannya. Sesungguhnya jiwa ku berada di dalam genggaman-Nya, tidak ada bulan yang lebih mulia dari bulan Ramdhan, bulan Al-Qur’an.

Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosa mereka yang membaca, mengamal dan menyintai Al-Qur’an serta terimalah amalan-amalan mereka di bulan Ramadhan dan selepasnya.

Ameen


Diedit dan di olah dari ”The Virtues of Ramadhan” by Your Brother in Islam, Rami Al-Sharawneh.

p/s: Jangan Lupa Click Reader's Poll kat sebelah kiri