Sekali lagi…
Dalam putaran bumi mengelilingi matahari yang mengambil masa 365 hari; musim silih berganti, masa berganti masa, hari berganti hari, akhirnya bersua kita dengan bulan yang sangat mulia iaitu Ramadhan...
Bulan yang penuh keberkatan, yang mendekatkan semua muslim dalam melengkapkan salah satu daripada rukun Islam; berpuasa di bulan Ramadhan. Bulan yang disebut oleh Allah, Pencipta Syurga dan Bumi di dalam Al-Qur’an Al-Kareem. Ramadhan juga adalah bulan yang penuh dengan ganjaran; bulan yang disebut-sebut Baginda Rasulullah S.A.W dan bulan untuk kita meningkatkan amalan kita agar dekat pada-Nya. Pada bulan yang diberkati ini, Allah S.W.T mengganjari setiap muslim dengan pahala yang berganda-ganda dalam usaha kita mentaati perintah-Nya. Ini merupakan satu anugerah yang tidak terhingga pada umat Islam; bulan yang permulaannya rahmah dan pertengahannya maghfirah serta penghujungnya, pembebasan dari api neraka.
Mungkin ada yang mempersoalkan dan menyatakan : Apa yang hebatnya bulan Ramadhan? Apa yang menyebabkan ia istimewa berbanding bulan-bulan yang lain? Saya boleh berpuasa bila-mana-mana hari dalam mana-mana bulan; Saya juga boleh menderma atau bersedekah bila-bila masa dan sebagainya.
Sebagai jawapan pada persoalan dan pernyataan tersebut; apa kata tarik nafas dalam-dalam dan hembus.. Tumpukan perhatian mata dan hati kita pada ayat-ayat-Nya. Firman-Nya, Yang Maha Mengetahui tentang bulan Ramdhan:
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ وَمَنْ كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ (١٨٥
Al-Qur’an adalah ayat-ayat Allah dan kitab terakhir yang menjadi panduan hidup untuk semua manusia yang diwahyukan pada Nabi Muhammad S.A.W. Al-Qur’an terkandung pelbagai khabar berita mengenai kisah umat-umat terdahulu iaitu sebelum kita dan juga khabar mengenai masa akan datang serta mengenai Nabi-nabi serta rasul-rasul-Nya. Di dalamnya diterangkan tentang penciptaan syurga-syurga-Nya, hukum-hukum atau syariat-Nya sebagai panduan hidup kita, dan perkara-perkara yang perlu kita percaya atau imani. Al-Qur’an adalah sumber utama para muslimin dan muslimat, di dalamnya terdapat panduan dan penyelesaian bagi setiap permasalahan yang dihadapi oleh manusia. Di dalamnya juga terdapat ubat bagi menyembuhkan setiap hati dan ia juga sumber kegembiraan bagi setiap rohani.
اللَّهُ نَزَّلَ أَحْسَنَ الْحَدِيثِ كِتَابًا مُتَشَابِهًا مَثَانِيَ تَقْشَعِرُّ مِنْهُ جُلُودُ الَّذِينَ يَخْشَوْنَ رَبَّهُمْ ثُمَّ تَلِينُ جُلُودُهُمْ وَقُلُوبُهُمْ إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ ذَلِكَ هُدَى اللَّهِ يَهْدِي بِهِ مَنْ يَشَاءُ وَمَنْ يُضْلِلِ اللَّهُ فَمَا لَهُ مِنْ هَادٍ (٢٣
Al-Qur’an adalah kitab terakhir dari Pencipta seluruh Alam untuk keturunan Nabi Adam A.S. Ia adalah sumber makanan rohani atau jiwa untuk mengekalkan kesegarannya. Sebagaimana jasad atau anggota fizikal kita memerlukan pada makanan dan minuman jadi begitu juga rohani kita memerlukan sumber untuk mengekalkan kesejahteraannya. Jasad manusia diciptakan dari tanah yang di dalamnya terkandung pelbagai sumber dari bumi seperti garam mineral, zat besi, kalsium dan sebagainya; jadi makanannya juga adalah berasal dari bumi. Begitu juga rohani kita yang diciptakan di syurga dan sudah tentu makanannya turut berasal dari syurga.
Cuba tanya diri kita, bila kali terakhir kita membaca Al-Qur’an? Tentu ada daripada kita yang mengatakan kali terakhir dia membaca al-Qur’an adalah pada bulan Ramadhan tahun yang lepas, dan jangan terkejut bila ada yang menyatakan yang dia sudah lama tidak membaca Al-Qur’an. Hal ini sebenarnya sangat menyedihkan bila sebilangan ummah meninggalkan Al-Qur’an, dalam erti kata tidak meluangkan walaupun sesaat untuk membacanya dan apatah lagi untuk cuba memahami dan mengamalkannya.
لَقَدْ أَضَلَّنِي عَنِ الذِّكْرِ بَعْدَ إِذْ جَاءَنِي وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِلإنْسَانِ خَذُولا (٢٩
Jadi wahai saudara-saudaraku, jadikan saat ini sebagai saksi bermulanya kita membaca Al-Qur’an. Bermulalah dengan beberapa ayat dan perlahan-lahan tingkatkan bilangan ayat-ayat yang dibaca. Kepada sesiapa yang tidak tahu membaca, carilah guru mengaji (Al-Qur’an); mintalah pertolongan rakan-rakan ataupun kunjungilah masjid-masjid yang berdekatan dan Insya Allah akan kamu temui seseorang yang lebih daripada sanggup untuk mengajarmu. Setiap daripada muslimin dan muslimat Mesti Cuba Mempelajarinya! Kita mesti berusaha sehingga kita mampu menguasainya mahupun memperbaiki bacaan kita. Pada mulanya mungkin terasa berat, sukar dan sebagainya tetapi ingatlah apa jua perjalanan yang kita tempuhi kesemuanya bermula dengan selangkah demi selangkah (contohnya waktu kita mula belajar berjalan atau bertatih – selangkah demi selangkah sehingga kita mampu berjalan dan seterusnya berlari). Begitu juga dalam mempelajari Al-Qur’an, dengan bermula dari langkah pertama. Insya Allah akan dipermudahkan bila kita ikhlas mempelajari Al-Qur’an.
Ganjaran yang Allah berikan dengan membaca dan memahami Al-Qur’an adalah sangat besar, tidak ada apa pun di dunia yang mampu memberi ganjaran yang sama dengan pemberian-Nya. Tambahan Ramadhan adalah bulan Al-Qur’an, di mana ganjaran atau pahala yang diberikan berlipat ganda dan pintu-pintu syurga dibuka dan pintu-pintu neraka ditutup. Marilah kita semua sama-sama mendekatkan diri pada-Nya dengan membaca Al-Qur’an, memahami Al-Qur’an, menghafaz dan mengamalkannya. Sesungguhnya jiwa ku berada di dalam genggaman-Nya, tidak ada bulan yang lebih mulia dari bulan Ramdhan, bulan Al-Qur’an.
Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosa mereka yang membaca, mengamal dan menyintai Al-Qur’an serta terimalah amalan-amalan mereka di bulan Ramadhan dan selepasnya.
Ameen
Diedit dan di olah dari ”The Virtues of Ramadhan” by Your Brother in Islam, Rami Al-Sharawneh.
p/s: Jangan Lupa Click Reader's Poll kat sebelah kiri
No comments:
Post a Comment