Monday, July 21, 2008

Kasihnya ALLAH pada Wanita

Keistimewaan yang Tuhan berikan kepada wanita terlalu banyaknya". "Kasihnya Tuhan kepada wanita!" Itulah kata-kata yang paling mudah digunakan untuk menggambarkan 'layanan' istimewa terhadap wanita dalam Islam. Sesungguhnya, tidak akan ada mana-mana ajaran, ideologi, isme atau agama lain yang dapat melayan wanita dengan sebegitu baik sepertimana Islam melayan wanitanya. Malah, kalau bergabung pun kesemua wanita yang cerdik pandai, berharta dan berkuasa di seluruh dunia ini untuk menambah hak dan pengiktirafan buat mereka, mereka pasti tidak akan mencapai taraf kemuliaan serta layanan baik yang Allah SWT tawarkan buat seorang wanita di dalam Islam.

Namun, ramai wanita yang tidak memahami hal ini. Lantaran itu kebanyakan mereka tertipu oleh nafsu sendiri dan merasa terkongkong dengan amalan atau larangan tertentu yang digunakan ke atas wanita Islam seperti amalan menutup aurat, larangan bergaul bebas, poligami, larangan wanita menjadi pemimpin dan lain-lain lagi. Mereka cukup takut dan gerun dengan kesemua amalan atau larangan yang dianggap sangat menindas wanita. Walhal kalau dikaji setiap satu amalan atau larangan itu, mudah sahaja untuk melihat hikmah dan kebaikannya kepada kaum wanita itu sendiri.

Lalu kita melihat apa yang diperjuangkan oleh pejuang-pejuang hak wanita ialah mereka kalau boleh tidak mahu sebarang sekatan dikenakan ke atas mereka. Tentulah ini tidak munasabah. Sedangkan manusia sendiri banyak membuat peraturan-peraturan serta larangan itu dan ini, atas alasan hendak menjaga keselamatan diri atau masyarakat awam. Contohnya, dalam soal lalu-lintas, terlalu banyak peraturan dan larangan yang manusia buat seperti jangan memandu melebihi had laju, tidak boleh letak kereta di garisan kuning, mesti berhenti apabila ada isyarat lampu merah, mesti hidupkan lampu selepas pukul 7 malam dan berbagai-bagai lagi. Kalau dalam bidang sekecil ini pun perlu banyak peraturan dan larangan, sudah tentulah dalam bidang kehidupan lebih memerlukan lagi, dan lebih-lebih lagilah kalau skopnya itu jauh lebih luas iaitu untuk keselamatan dunia dan Akhirat.

Tuhan sebenarnya sangat kasih dan memuliakan kaum wanita. Segala suruhan dan larangan yang Tuhan kenakan ke atas kaum wanita tidak lain dan tidak bukan ialah untuk memastikan keselamatan dirinya dan masyarakat dan sekali-kali bukan untuk menyusahkan mereka. Tetapi, atas hujah dan alasan apa dakwaan ini dibuat? Mari kita lihat satu persatu pengiktirafan yang diberikan olehTuhan kepada wanita, sama ada setara langsung atau pun tidak.

i) Gelaran bagi `isteri' di dalam Al Quran


Perkataan yang Allah SWT gunakan di dalam Al Quran untuk menunjukkan suami atau isteri adalah perkataan yang sama, sedangkan dalam bahasa- bahasa lain, perkataan untuk suami dan perkataan untuk isteri menggunakan dua perkataan yang berbeza. Misalnya, dalam bahasa Inggeris, perkataan untuk suami ialah `husband' manakala perkataan untuk isteri ialah `wife'. Sementara dalam bahasa Perancis pula, perkataan untuk suami ialah `mari' manakala perkataan `femme' untuk isteri.

Tetapi di dalam Al Quran, suami dan isteri tidak disebut dua perkataan yang berbeza `zaujuh' dan `zaujati'. Hanya satu perkataan yang digunakan untuk kedua-duanya iaitu `zaujuh' yang bermakna `pasangan'. Islam melihat suami dan isteri adalah pasangan, penutup dan juga pelindung buat yang lain. Mereka dilihat sebagai sepasang, bukan berasingan. Sudah tentulah ini bermakna yang kaum lelaki di dalam Islam tidak dianggap lebih mulia daripada kaum wanitanya. Apabila kita mengatakan sepasang kaca mata, sepasang stokin atau sepasang baju, tentulah kita menganggap mereka setara dan tidak dapat dipisahkan di antara satu sama lain. Dan sudah tentulah kita tidak menganggap yang stokin kanan lebih hebat daripada stokin kiri atau kaca mata kanan lebih baik daripada kaca mata kiri. Begitulah tamsilannya sepasang suami isteri di dalam Islam seperti yang tercatat di dalam Al Quran.

Namun, gelaran zaujuh ini hanya diberikan kepada isteri yang sama beriman. Bagi isteri yang tidak beriman, mereka tidak disebut zaujuh. Contohnya, isteri Nabi Lut dan isteri Nabi Nuh. Di dalam Al Quran, mereka disebut 'imraah', kerana isteri sebegini tidak dianggap pelengkap, pelindung atau penutup kepada suaminya.

ii) Pembelaan Rasulullah SAW Terhadap Wanita

Rasulullah SAW ada banyak menyatakan Hadis-Hadis yang menunjukkan betapa wanita itu dimuliakan di dalam Islam. Antaranya:

a. "Syurga di bawah telapak kaki ibu." Apakah wanita tidak rasa mulia dengan Hadis ini? Mengapa Rasulullah SAW memilih perkataan "di bawah telapak kaki" dan bukan "di dalam tangan" atau "di sisi" seorang ibu? Sudah tentu ini sangat menggambarkan mulianya seorang wanita di dalam Islam. Seorang yang faham tentu akan sangat memandang mulia, menghormati, membela serta berlumba-lumba untuk berkhidmat dan meng'hamba'kan diri kepada ibunya (dengan syarat segala yang dibuat itu tidak melanggar syariat). Tidakkah beruntung menjadi seorang ibu di dalam Islam? Dia tidak akan terbiar dan dipinggirkan, malah akan sentiasa dibela, dihormati dan dimuliakan oleh anak-anaknya.

b. "Orang yang paling baik dari antara kamu itu ialah yang paling baik kepada isi rumahnya, dan aku ini orang yang paling baik dari antara kamu kepada isi rumahku."

c. "Tidak akan memuliakan perempuan-perempuan melainkan orang yang mulia, dan tidak menghina akan perempuan-perempuan melainkan orang yang hina."(Hadis riwayat Ibnu `Asakir)

d. "Bergaullah kamu dengan isteri-isteri kamu dengan cara yang sopan. Kemudian bila kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak."

e. "Janganlah seorang mukmin lelaki membenci kepada seorang (isterinya yang) mukminah, kerana walaupun ada satu perangainya yang lelaki itu tidak suka, tetapi (tentu) ada lain perangainya yang is suka."(Hadis riwayat Ahmad dan Muslim)

Demikianlah hak-hak istimewa seorang wanita yang diberi oleh Islam. Dalam satu masyarakat yang bertaqwa, kaum wanita tidak perlu bimbang yang mereka akan diperleceh, dipermain atau diperkotak-katikkan oleh kaum lelaki, sebaliknya mereka boleh yakin bahawa pihak lelaki akan sentiasa melindungi, menasihati, menegur dan membimbing mereka dengan ikhlas.

iii) Bahagian Tubuh Wanita Dianugerahkan Nama yang Mulia

Dalam tubuh wanita, ada satu bahagian yang diberi nana yang begitu mulia iaitu rahim. Perkataan ini diambil dari nama Tuhan, yang bermaksud `Maha Penyayang'. Sudah tentulah Tuhan tidak akan memberikan nama yang semulia ini kepada sesuatu yang hina di sisi- Nya. Sudah tentuTuhan akan memilih sesuatu yang mulia juga untuk dianugerahkan nama yang begitu mulia. Tuhan tidak berikan nama yang semulia ini kepada bahagian tubuh lelaki tetapi Dia memberikannya kepada bahagian tubuh wanita. Rahim inilah yang merupakan penghubung kepada makhluk. Di dalam rahimlah, wanita menjaga ciptaanTuhan dan memberi makan kepada apa yang Tuhan ciptakan.

Kaum wanita sepatutnya merasa sangat malu kepada Tuhan kerana memberi penghargaan yang begitu tinggi kepada mereka. Siapa boleh nafikan kepentingan rahim untuk kewujudan manusia? Anugerah rahim kepada wanita sebenarnya sudah cukup untuk membuktikan akan mulianya wanita di sisi Tuhan.

iv) Diberi Pahala yang Berterusan

Wanita disebut `kurang dari sudut agama', tetapi ini bukan bermaksud yang wanita itu kurang dari sudut iman dan taqwanya. Mereka cuma kurang bersolat ketika datang haid dan nifas. Namun, oleh kerana di waktu-waktu lain mereka sentiasa bersolat, maka sepanjang waktu haid dan nifas itu, Tuhan tetap memberikan juga pahala solat sekiranya mereka dapat bersabar dengan keadaannya yang tidak selesa itu.

Bayangkan seorang wanita yang baru melahirkan anak. Sudahlah digugurkan dosa-dosanya seperti seorang bayi yang baru lahir, diberikan pula pahala solat percuma sepanjang dia dalam keadaan nifas. Dan kalau dia sabar menyusu, memelihara dan melayan kerenah anaknya pula, makin banyaknya pahala yang Tuhan sediakan untuknya.

Aduh! Maha Pemurahnya Tuhan kepada wanita. Maha Baiknya Tuhan kepada golongan yang sering dianggap lemah dan terpinggir ini! Kalaulah wanita-wanita pejuang hak asasi itu tahu begini sekali ganjaran- ganjaran yang Tuhan berikan kepada seorang wanita mukminah, pastilah mereka akan meninggalkan perjuangan mereka. Tidak ada apa-apa lagi hak yang perlu diperjuangkan oleh seorang wanita mukminah. Yang Tuhan tawarkan itu pun sudah terlampau banyaknya.

Noktah Bidayah Yang Jelas Dan Kepentingannya Dalam Tarbiyyah Islamiyah Harakiyah

PENCERAMAH: Abu Umar
Tarikh: 19 Julai 2008

Muqaddimah
  • Apabila berbincang mengenai Tarbiyah Islamiyah Harakiyah kita tidak ada pilihan lain selain kembali menghayati proses didikan generasi pertama yang dididik oleh Rasulullah SAW dengan didikan Robbani.
  • Kerana berharganya sebuah dakwah, Rasulullah SAW sanggup mengorbankan segala-galanya.
Assyahid Hassan alBanna menyatakan:
  1. Kebenaran adalah milik semua
  2. Hakikat persaudaraan adalah sangat penting
  3. Kesatuan umat manusia amat diperlukan untuk membangunkan ummah

Bagaimana Rasulullah SAW mampu membangunkan bangsa Arab menjadi satu umat yang memikul risalah serta mencipta sejarah dan peradaban yang mengagumkan sedangkan sebelumnya mereka adalah masyarakat jahiliyyah yang hina dina dan berpecah belah, membunuh anak perempuan hidup-hidup, minum arak, berzina, berjudi dan sebagainya?
  • Semua ini adalah rahsia al Quran dan pengaruh manhaj tarbiyyahnya dalam meluruskan jiwa dan umat manusia serta membangunkan sebuah harakah Robbaniah
  • Untuk mengetahui hakikat ini kita harus mengenal standard piawaian kejayaan harakah ini.

    Tanyalah diri kita apakah factor kejayaan Rasulullah SAW? :

    Adakah kejayaannya diukur dengan kekuasaan dan perluasan empayarnya sehingga mampu meletakkan Islam pada kedudukan yang terhormat di persada dunia atau mungkin kerana ramainya pengikut atau penganutnya?
  • Sudah tentu tidak, kejayaan harakah ini tidak ditentukan dengan nilaian itu melainkan dengan
    – Fikrah dan keimanan yang mendasarinya
    – Akhlaq dan nilai-nilai yang melandasinya
    – Keluhuran dan keikhlasan pendokongnya serta semangat dan kesungguhan yang dibangunkan di atas ilmu dan kefahaman yang mendalam.

Inilah rahsia kejayaannya iaitu risalah tarbiyyah sebelum risalah hukum, risalah akhlaq sebelum risalah jihad, risalah kesucian hati sebelum risalah kekuasaan dan perluasan empayar.
  • Inilah perkara pertama yang perlu kita lihat sebelum kita memilih bentuk dan pola pergerakan atau harakah kita
  • Harakah itu bermula dari dalam diri kemudian ianya keluar berhadapan dengan sistem yang menguasai persekitarannya.
  • Oleh itu jiwa harakah tidak akan tumbuh pada peribadi yang menumpang kasih sistem yang ada sebagaimana yang disebutkan oleh As Syahid Hassan Al Banna “Tangan yang menerima tidak akan memukul tangan yang memberi”.
As Syahid Hassan Al Banna ada menyebut, “Ramai di antara kita yang membaca sirah dan mengetahuinya tetapi tidak ramai yang mengambil nilai-nilai dari sirah tersebut.”

Kegentingan jiwa terjadi apabila terdapatnya pertembungan di antara iman dan keadaan persekitaran.

Contohnya kisah penaklukan Sepanyol oleh tentera muslimin. Apabila di tanya kepada para paderi mengapa orang-orang kristian tidak marah mahupun menentang apabila mereka dijajah? Para paderi itu dengan jujurnya mengatakan mereka tidak akan bertindak menyerang mahupun menentang selagi orang-orang mukmin masih tidak cintakan pada dunia (harta,pangkat dll).

Titik Mula Yang Betul.
  • Kerja-kerja yang besar ini tentunya memerlukan titik mula yang betul agar pertumbuhan dan perkembangannya selaras dengan landasan yang ditetapkan Allah SWT.

Kebersihan ‘Aqidah
  • Rasulullah SAW pertama kali memperhatikan aspek kebersihan ‘Aqidah Tauhid dan menyucikannya dari berbagai kotoran syirik, kerana itulah dasar yang akan menumpang berdirinya bangunan keperibadian seorang muslim yang selanjutnya akan melakukan dan memasuki fasa pembangunan keluarga, masyarakat kemudian pemerintah dan negara.
  • Rasulullah SAW memperhatikan aspek Tarbiyyah dan Kaderisasi para Rijal ‘Aqidah dan Pasukan Dakwahnya.
  • Ayat-ayat al Qur’an pada fasa ini turun dengan memfokuskan masalahnya pada masalah keimanan kepada Allah s.w.t, pada Hari Akhirat dan pembersihan ‘Aqidah Tauhid.
  • Sahabat-sahabat di ajar untuk bersabar dalam menempuh ujian di samping meyakini janji-janji Allah SWT
  • Itulah Manhaj Perjuangan Rasululllah pada fasa itu. Mempersiapkan Kader Inti yang kuat yang akan menjadi dasar bangunan.
  • Mereka dibina sesuai dengan ayat al Qur’an di Madrasah Rasulullah s.a.w. untuk tunduk pada perintah Allah, dengan melakukan Qiamullail untuk menambah bekal lantaran mereka memikul amanat berat
  • Inilah juga proses pertama yang mesti dilalui oleh mereka yang ingin melibatkan diri di dalam Harakah Islamiyyah, iaitu proses membersihkan hati dari segala Karat-Karat Jahiliyyah dan seterusnya menanam Bibit-Bibit keimanan.
  • Keimanan yang bersih dan murni ini adalah salah satu ciri utama yang menjadikan Generasi Awal Al Qur’an sebagai satu Generasi Yang Cemerlang.
  • Inilah juga proses awal yang perlu dilalui oleh mana-mana ahli-ahli anggota Harakah ataupun Jemaah Islamiyyah yang mengharapkan natijah yang sama.
  • Inilah faktor yang terlebih dahulu dilihat sebelum kita atau mana-mana kumpulan berfikir dan merancang menegakkan peraturan masyarakat yang Islamik, dalam usaha membangunkan sebuah masyarakat atau Ummah Islamiyyah di tengah-tengah kepekatan Jahiliyyah Moden ini.
  • Meyakini Uslub Rasulullah s.a.w adalah bimbingan wahyu Ilahi dan meyakini ‘Uslub Rasulullah s.a.w’ itu sendiri adalah hasil dari proses Tarbiyyah Islamiyyah yang bertolak dari keyakinan kepada Allah s.w.t dan keyakinan kepada Rasulullah s.a.w.

Pembinaan peribadi sebelum pembinaan ummah
  • Rasulullah SAW memulakan dakwahnya dengan membangunkan peribadi sebelum membangunkan ummah. Markas pertama baginda adalah di rumah al Arqam bin Abi al Arqam meyaksikan terkumpulnya peribadi-peribadi dalam bilangan yang kecil.
  • Peribadi-peribadi ini kemudiannya dibentuk dan dibangunkan iman mereka sesuai dengan matlamat tinggi dan mulia yang ingin dicapai. Akhirnya terbentuklah peribadi-peribadi mulia. Mereka yang dibentuk inilah yang akan menjadi tiang-tiang utama didalam pembinaan ummah.
  • Oleh sebab itulah aspek Rabbani dalam Tarbiyah Islamiyah harakiyyah adalah aspek yang paling penting kerana matlamat pendidikan Islam ialah melahirkan insan mukmin dalam pengertian sebenar iaitu insan yang memiliki iman yang menguasai hati dan fikiran, lahir dalam bentuk amalan dan tindakan, seperti yang disebutkan dalam al-athar: “...Ia sebati dalam jiwa dan dibenarkan dalam bentuk amalan.”

    AsSyahid Hassan Al Banna mengatakan bahawa kita semua perlu melihat ketenangan hati dan jiwa para sahabat Rasulullah SAW bukan pada keadaan fizikal mereka.

    Keyakinan para sahabat pada pertemuan dengan yang Maha Pencipta.
  • Tunggak Tarbiyyah Rabbaniyah ialah hati yang subur, sentiasa berhubung dengan Allah SWT, yakin akan menemui-Nya, mengharapkan rahmat-Nya dan takut akan azab-Nya. Jiwa yang hidup inilah yang menjadi tumpuan Allah swt untuk dicampakkan nur kepadanya. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
    “Sesungguhnya Allah tidak melihat pada rupa bentuk kamu tetapi sesungguhnya Dia melihat kepada amalan-amalan dan hati-hati kamu.”
    (Riwayat Ibn Majah)

Keperluan Noktah Bidayah As Sohihah Di Dalam Amal Islami Kini.
  • Kita tidak mahu anggota kita menjadi anggota ikutan. Oleh itu As Syeikh Mustafa Masyhur meletakkan rukyatul wadhih sebagai asas pertama di dalam harakah Islamiyyah.
  • Amal Islami perlu bermula dengan kefahaman yang luas tentang risalah yang sedang kita bawa ini beserta matlamat, jalan serta halangan yang bakal kita tempuhi disamping memahami realiti dimana kita sedang berada.
  • Kefahaman ini akan memastikan kita mengambil nilaian yang betul dalam menentukan keperluan dan keutamaan kita di samping menentukan neraca apakah yang akan kita gunakan didalam menilai suasana yang ada disekitar kita.
  • Kita tidak mengambil pendapat majoriti manusia atau pendapat ulama'-ulama' umum untuk mengukur kerja-kerja kita.
  • Kita tidak mengambil kejayaan sistem sebagai piawaian kita dalam menentukan instrumen-instrumen menilai kejayaan kita
Jahiliyyah Yang Menguasai
  • Suasana hari ini dikuasai sepenuhnya oleh jahiliyyah hingga sedikit sebanyak kita sendiri dipengaruhi oleh nilai-nilai jahiliyyah terutamanya didalam menentukan keutamaan dan membuat penilaian.
  • Jika kita lihat sistem hidup sekarang ini secara pandangan manusia atau cara orang Islam biasa kita tidak nampak sebarang kekurangan atau kesilapan secara total, kita cuma nampak aspek yang lemah sahaja.
  • Imam Ahmad Ibnu Hanbal pernah menyebutkan (mafhumnya) ”Apabila masyarakatnya jahil, pemerintahnya zalim dan pegawai-pegawainya terdiri dari orang-orang yang fasik maka jika ada sedikit kebaikanpun kita kena rasa hairan”. Kita perlu rasa hairan bagaimana mungkin dari pohon yang berduri, busuk dan beracun tiba-tiba mengeluarkan buah yang manis dan harum.
  • Kita tidak menolak segala yang dilakukan oleh masyarakat. Kita tidak nafikan ada bahkan ramai dikalangan mereka yang ikhlas tetapi kita meragukan apa yang sedang mereka laksanakan itu adalah natijah dari sistem yang menolak Ulluhiyyah dan Rubbubiyyah Allah SWT.

Majoriti Bukan Ukuran Kebenaran
  • Suara majoriti tidak mendokong kebenaran oleh itu nilaian dan pilihan kita tidak sepatutnya dipengaruhi oleh masyarakat umum.


    وَإِنْ تُطِعْ أَكْثَرَ مَنْ فِي الأرْضِ يُضِلُّوكَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ إِنْ يَتَّبِعُونَ إِلا الظَّنَّ وَإِنْ هُمْ إِلا يَخْرُصُونَ (١١٦

    "Dan jika kamu menuruti kebanyakkan orang yang ada di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanyalah mengikut persangkaan belaka dan mereka tidak lain hanyalah berdusta."(QS06. al-An'am: ayat 116.)
  • Kitalah yang seharusnya mempengaruhi manusia bukan kita yang terpengaruh dengan manusia. Janganlah kerana menjaga hubungan manusia sesama manusia hingga kita lupa hubungan dengan Allah SWT Jika kita benar-benar ingin kembali kepada Islam kita perlu memahami kehendak Allah SWT melalui sumber yang robbani dan sohih

Hanya Satu jalan
  • Jalan kita hanya satu. Jalan inilah yang dilalui oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda.
  • Demikian juga kita dan para pendokong dakwah, sama-sama melaluinya berpandukan taufik dari Allah SWT.
  • Kita dan mereka melaluinya berbekalkan iman, amal, mahabbah (kasih sayang) dan ukhuwwah (persaudaraan).
  • Rasulullah s.a.w. menyeru mereka kepada iman dan amal, kemudian menyatupadukan hati-hati mereka di atas dasar mahabbah dan ukhuwwah.
  • Berpadulah kekuatan iman, kekuatan akidah dan kekuatan persatuan. Jadilah jamaah mereka jamaah yang ideal sebagai model. Kalimahnya mesti lahir dan dakwahnya pasti menang walaupun ditentang oleh seluruh penghuni muka bumi ini.
  • Amal Islami inilah yang akan menjadi modal atau bekalan untuk kita kembali kepada Allah SWT.


    Di edit oleh: Fatimah

Monday, July 14, 2008

A Song to Sing with Our Children: INCY WINCY SPIDER

Incy Wincy spider
climbed up the water spout.
Allah sent the rain
and washed the spider out.
Allah sent the sun
and dried up all the rain.
So Incy Wincy spider
climbed up the spout again.

Fatimah Az-zahra - Model Muslimah Sejati

Wanita hanya dianggap satu elemen yang hanya akan merosakkan banyak cara hidup bukan Islam.

Lantaran itu mereka sering diasingkan, malah terbiar tanpa pendidikan dan terpinggir daripada arus kemajuan.

Ini ternyata sungguh ironi kerana kebangkitan Rasulullah s.a.w. di antara lainnya dilihat sebagai pembela utama wanita yang sebelumnya dipandang hina pada mata masyarakat Quraisy jahiliah.

Pengiktirafan terhadap wanita bukan sahaja datang daripada Rasulullah, bahkan Allah s.w.t. sendiri menetapkan tokoh-tokoh wanita dalam Islam yang dianggap sebagai ahli syurga, iaitu Khadijah binti Khuwailid, Fatimah az-Zahra, Mariam binti Imran dan Asiah binti Muhazim.

Mereka bukanlah makhluk langit seperti bidadari yang digambarkan oleh Allah dalam al-Quran sehingga kita terpesona dan dibuai keindahan cerita-ceritanya.

Sebaliknya mereka adalah makhluk bumi sama seperti kita. Namun memiliki ketinggian sifat mulia dan kedudukannya di sisi Allah.

Sewajarnya mereka yang merupakan wanita mithali ini menjadi model utama umat Islam dan kaum hawa keseluruhannya.

Namun nama-nama wanita ideal ini begitu jarang sekali disebut, hatta ketika perayaan sambutan hari wanita sekalipun.

Wanita diibaratkan sebagai cahaya kehidupan atau nur tetapi persoalannya, di manakah akan kita temui nur yang ideal untuk dijadikan contoh?

Sedangkan di sisi umat Islam, sebenarnya ada nur yang hari lahirnya berkunjung setiap tahun - 20 Jamadilakhir - tetapi tiada siapa peduli, di antaranya ialah Fatimah az-Zahra.

Fatimah digolongkan dalam keturunan Ahli Bait yang disebut setiap kali dalam tahiyat akhir ketika solat.

Selawat ke atasnya sudah menjadi sebahagian daripada ibadah, sedangkan umat Islam melupakannya.

Bercakap mengenainya bukan sekadar untuk mengingati peribadi Fatimah itu sahaja, sebaliknya yang lebih utama ia adalah sebuah institusi yang penting.

Fatimah adalah lambang model bagaimana berjayanya sistem pendidikan dan tarbiyah Rasulullah terhadap anak-anak, yang daripadanya lahir generasi pencinta agama dan kebenaran.

Dia dididik dalam rumah Rasulullah dan dibelai oleh ibunya, Khadijah yang juga wanita syurga. Dan Fatimah sendiri adalah ibu kepada dua putera yang menjadi pemuda di syurga - Hassan dan Hussein.

Malah dia menghimpunkan semua sifat terpuji daripada tiga wanita syurga-Mariam, Khadijah dan Asiah- untuk diteladani oleh umat Muhammad.

Kemuliaan martabat Fatimah tidak hadir dengan begitu sahaja, malah ia sebenarnya berpunca daripada kemurnian peribadi hasil didikan ayahandanya, Rasulullah s.a.w. berdasarkan manhaj tarbiyah Islamiah.

Suci

Peribadinya juga terbentuk sejak dia dalam kandungan ibunya seperti dijelaskan dalam hadis daripada Aisyah r.a. bahawa Rasulullah bersabda, ``Ketika aku diangkat oleh Tuhanku di malam Isra' Mikraj, aku di bawa ke syurga oleh Jibril al-Amin. Aku menikmati sebiji buah daripada buah-buahan syurga lalu daripadanya terjadi nutfah di dalam sulbiku.

``Setelah beberapa waktu isteriku Khadijah melahirkan Fatimah. Maka ketika aku rindukan aroma syurgawi, kucium keharuman Fatimah.'' (As-Suyuti, Dur al-Manthur dalam tafsir Surah al-Isra:1)

Kalam dan huruf sama sekali tidak akan mampu melukiskan peribadi wanita suci ini.

Jika harus ada hari di mana para wanita kita dihargai, maka tidak ada tarikh lain kecuali pada hari kelahirannya, iaitu kelahiran yang memanifestasikan keindahan mutlak seorang perempuan; moral dan spiritual.

Kelahiran yang mengangkat harakat martabat perempuan untuk naik menjulang ke langit samawi dengan takwa dan keimanan.

Kelahiran yang menjadikan segenap lapisan kaum hawa mempunyai kiblat untuk diteladani.

Lahirnya Fatimah az-Zahra adalah berkat dan rahmat Ilahi kerana wujudnya yang agung dan mulia telah mengakhiri mitos tentang rendahnya martabat kaum wanita dan seterusnya mengangkat darjat kaum hawa.

Jika ayahandanya, Rasulullah s.a.w. adalah ciptaan yang paling sempurna dan suaminya adalah lelaki yang mulia, maka Fatimah adalah wanita yang paling mulia.

Dialah yang mendapat gelaran Sayyidati Nisail Alamin - penghulu wanita semesta alam.

Senyum Fatimah adalah senyum yang menghilangkan duka lara Rasulullah s.a.w. Fatimah juga digelar al-Kauthar - telaga yang mengalirkan rahmat dan nikmat Ilahiyah kepada Rasulullah sehingga Allah menyeru baginda agar mensyukurinya.

Adalah kebanggaan tersendiri bagi wanita Muslim agar mampu menelusuri jejak langkah Fatimah yang sempurna dalam ketakwaan, akhlak dan ilmu.

Malah umat Islam tidak akan terbuai dengan semua agenda sambutan hari wanita yang dianjurkan oleh Barat, sekiranya dapat digantikan dengan perayaan mengingati peribadi dan kelahiran Fatimah.

Perkara ini telah dilaksanakan lebih awal oleh Iran ketika berjaya mencapai kejayaan Revolusi Islam 1979, apabila Ayatullah Imam Khomeini mengisytiharkan setiap 20 Jamadilakhir sebagai hari sambutan wanita Islam sedunia.

Ini kerana para wanita di seluruh dunia seharusnya bangga mempunyai Fatimah sebagai suri teladan mereka.

Puteri Rasulullah adalah wanita mulia yang hidup secara sederhana. Fatimah tinggal di sebuah rumah kecil, tempat beliau mendidik tunas-tunas insan kamil yang menampung pancaran cahaya Fatimah, cahaya yang menerangi segala yang wujud, daripada butir-butir pasir sahara hingga bintang-bintang di langit dan malaikat di jagat raya.

Rumah Fatimah adalah ruang singgahnya pancaran cahaya Ilahi serta tempat tumbuh dan besarnya manusia-manusia pilihan.

Walaupun kecil dan kosong daripada perhiasan, namun penuh dan kaya dengan kemanusiaan, di situlah rumah di mana berkumpulnya Muhammad sebagai datuk, Ali sebagai ayah, Hasan, Hussein, Zainab dan Ummu Kalthum sebagai anak-anak dan kasih sayang Fatimah sendiri sebagai pembentuknya.

Sebagai pendamping hidup Saidina Ali r.a., Fatimah juga tampil sebagai isteri yang ideal dan suri rumah yang penuh tanggungjawab.

Demikian besar peribadi Fatimah sehingga insan sehebat Saidina Ali r.a. merasa tenang dan damai di sisinya.

Pelbagai masalah yang timbul hari ini harus diselesaikan dengan bijaksana dan Islamik.

Wahyu tidak hanya menyajikan nasihat, tetapi menampilkan juga teladan. Salah satunya adalah Fatimah az-Zahra yang merupakan citra besar dan istimewa merangkumi politik, sosial dan jihad.

Kehidupan Fatimah adalah samudera yang diwarnai dengan perjuangan, kerja keras dan - terpenting - ialah syahadah.

Muslimah yang bekerja di luar rumah, sama ada sebagai doktor, pensyarah pengajian tinggi dan sebagainya yang sesuai pada tempatnya, namun tetap harus memberikan keutamaan di rumah.

Masalah keibuan dan status isteri dalam rumah tangga, merupakan hal yang amat fundamental dan penting.

Anda bukanlah wanita sempurna jika tidak dapat menangani amanah dalam rumah.

Kasih sayang memerlukan satu penggerak utama dan itulah wanita yang menjadi ibu kepada rumah tangga.

Tanpa kehadiran wanita ideal seperti Fatimah - rumah tangga akan kering tanpa makna.

Justeru pemikiran dan keperibadian Fatimah perlu difahami oleh masyarakat dengan pelbagai wacana dan diskusi ilmiah secara terdidik.

Friday, July 11, 2008

Tenanglah Duhai hati…Bila dirimu dipuji…

Ya Allah, semoga Engkau tidak menghukumku karena apa yang mereka katakan. Ampunilah aku atas apa yang tidak mereka ketahui. [Dan jadikanlah aku lebih baik daripada yang mereka perkirakan]. (HR. Al-Bukhari dalam Al-Adabul Mufrad no. 761. Isnad hadits tersebut dinyatakan shahih oleh Al-Albani dalam Shahih Al-Adabul Mufrad no. 585. Kalimat dalam kurung tambahan Al-Baihaqi dalam Syu’abul Iman 4/228 dari jalan lain.)

Ya Allah yang Maha Mengetahui,
Segala yang tampak mahupun tersembunyi,
Sesungguhnya hambaMu ini takut dengan pujian makhlukMu,
Pujian mereka meragut ketenangan jiwaku,
Sekaligus menggoncang keimananku,
Aku takut diri ini kufur atas nikmatMu,
Nauzubillah…

Pujian mereka seolah-olah,
Mengheret sebelah kaki ku ke nerakaMu,
Gementar seluruh diri ini mengingati azabMu,
Janganlah Engkau menghukumku,
Atas apa yang mereka tuturkan,
Ampunilah diriku atas apa yang tidak mereka ketahui,

Sesungguhnya segala pemberianMu padaku,
Rupa mahupun kebijaksanaan,
Adalah nikmat dan ujianMu buat diriku,
Untuk mengingatkan aku tentangMu,
Supaya aku bersyukur atas kurniaanMu,
Untuk mendidik ku bersabar atas mehnah dunia,

Aku memohon padaMu, Ya Allah..
Jadikanlah aku lebih baik,
daripada apa yang mereka perkatakan,
Tenang dan damaikanlah hatiku,
Tetapkanlah aku pada deen dan jalanMu…


Luahan,
‘abdah Allah

Wanita Solehah - Bidadari Mencemburui Kesolehannya....

Wanita Solehah..
Perhiasan yang menjadi dambaan..

"Seorang manusia bergelar nabi, manusia lelaki pertama dicipta Allah, pernah menghuninya. Dia dimuliakan oleh semua makhluk termasuk malaikat, atas perintah Allah. Dia bebas menelurusi setiap ceruk menikmati keindahan yang tidak terperi. Namun ditengah keindahan syurga, jauh di sudut hatinya masih ada suatu kekosongan. Mengapa? Kerana tiada wanita menemaninya dalam menikmati keindahan syurga! Maka diciptakannya wanita sebagai pelengkap kepada nikmat syurgawi.

Syurga masih terasa kurang lengkap tanpa wanita. Bidadari yang cantik jelita juga adalah wanita. Kalau begitu, boleh meriahkah dunia ini tanpa wanita? Setiap akal dan hati tahu jawapannya. Ya……tanpa wanita, sunyi sepilah dunia. Tidak banggakah kita menjadi wanita? Persoalannya, cukupkah sekadar dilahirkan sebagai wanita, kita boleh berbangga menyandang keistimewaan ini?

Perhiasan adalah suatu yang menambah seri suasana, menyejukkan hati dan mata. Seperti mana sejuknya hati dan mata apabila melihat bunga, demikianlah hati apabila melihat perhiasan. Tapi, kenapa tidak semua wanita menyejukkan hati sedangkan ia diciptakan sebagai pelengkap kepada perhiasan dunia dan akhirat? Malah, ada wanita yang menjadi punca kemelut dan kacau bilau. Garis pemisahnya ialah sekeping hati yang ia miliki.

Apabila hati diserahkan kepada Allah, kekallah wanita dengan asal penciptaannya iaitu penyejuk mata dan hati.Apabila wanita terus mengikatkan hati kepada zat yang menjadikannya, kekallah ia sebagai perhiasan yang dijaga rapi. Redup wajahnya mengundang pembelaan dari hati yang menjadi hamba Tuhan dan kerendahan hati yang tunduk kepada syariat meletakkan ia sentiasa dalam keredhaan dan perlindungan dari Zat Yang Maha Agung. Inilah wanita sejati bergelar wanita solehah seperti yang digambarkan oleh Rasullullah:

"Dunia adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita solehah."

Di dunia lagi bidadari mencemburui kesolehannya dan di akhirat bidadari sudi menjadi khadamnya.

Sebaliknya, jika hati dibawa jauh dari Allah, hilanglah kejernihan wajah dan jadilah dia duri yang menjadi punca kemelut serta kacau bilau. Apabila wanita lari dari ikatan Tuhan, maka terbukalah segala pintu yang akan menjerumuskannya ke lembah fitnah kehinaan. Hilanglah redup wajah yang menjadi dambaan dan yang terserlah ialah kecantikan palsu yang menanti untuk dieksploitasi oleh manusia buas yang menjadi hamba nafsu.

Ibarat bunga sejati dan bunga plastik. Jika bunga plastik disembur pewangi, harumnya lebih kuat daripada haruman bunga sejati…tapi haruman itu tidak kekal. Haruman bunga plastik bukan miliknya yang sebenar, ia haruman palsu yang bersifat luaran. Berbeza dengan keharuman bunga sejati yang bersifat dalaman dan kekal. Keharuman bunga sejati tetap kekal dimana saja ia diletakkan, di jambangan ataupun sekadar tumbuh di pingggir belantara. Sebaliknya bunga plastik tetap kaku, haruman palsunya akan semakin hilang walaupun tersusun indah di jambangan emas.

Wanita solehah yang hatinya terikat dengan Allah-si gadis dihiasi sifat sopan dan malu; si anak mentaati ibu bapa; srikandi dihiasi keberanian dan ketegasan yang penuh kesopanan serta prihatin terhadap suasana masyarakat; si isteri penuh ketaatan, kesetiaan dan kasih terhadap suami. Semuanya berteraskan rasa cinta kepada Yang Maha Pencipta. Berbahagialah kaum Adam yang berjaya memiliki `perhiasan' sejati ini kerana pastinya hidup akan terarah ke syurga. Syurga dunia yang disegerakan dan syurga hakiki yang kekal abadi.

Seorang wanita yang hatinya jauh dari Tuhan masih mampu menjadi perhiasan dunia yang digilai oleh segenap lelaki. Kecantikan dan lentoknya menjadikan hati lelaki tunduk semahu-mahunya sehingga sangggup berkorban segala-galanya-suatu perhambaan yang tersirat. Terpenjaralah hati kaum Adam yang memilih perhiasan`palsu' ini.
Hati menjadi sempit dan di akhirat terseksa tanpa batas!

Wanita boleh memilih untuk menjadi `bunga sejati'. Wanita solehah yang membawa tenang. Wanita juga boleh memilih untuk menjadi `bunga plastik'. Wanita yang mengundang kemelut, kacau bilau dan kehancuran. Kita sentiasa ada pilihan… maka pilihlah. Kita hanya akan layak menjadi `bunga sejati' jika hati tunduk kepada Tuhan. Bagaimanapun, Tuhan tidak pernah memaksa. Dia tetap agung walaupun kita sebagai hamba terus derhaka…Maha suci Allah yang telah memuliakan kita sebagai wanita. Daripadanya kita datang dan kepada-Nya kita akan kembali.

Sabda Rasullulah s.a.w yang bermaksud:

"Hendaklah kamu menasihati para wanita dengan sebaik mungkin, kerana sesungguhnya wanita itu dijadikan daripada tulang rusuk, sesungguhnya bahagian yang paling bengkok pada tulang itu ialah yang di sebelah atasnya; apabila kamu mahu meluruskannya patahlah ia, dan sekiranya kamu membiarkannya kekallah ia dalam keadaan bengkok. Oleh itu tolonglah kamu nasihati para wanita dengan sebaik-baiknya" (Riwayat Bukhari, Muslim dan abu Hurairah)"




Monday, July 7, 2008

Status Wanita dalam Islam

Dari “Majmoo’ Fataawa wa Maqaalat Mutanawwiyah”

Status wanita muslim dalam Islam adalah sangat tinggi dan mulia, peranannya adalah sangat besar dalam kehidupan setiap muslim. Malah wanita muslim (muslimah) merupakan guru pertama dalam pembangunan ummah yang sempurna, bekalannya adalah petunjuk dari Al-Qur ‘an Al-Kareem dan Sunnah Rasulullah SAW. Al-Qur ‘an dan As-sunnah adalah merupakan panduan seluruh umat Islam – lelaki mahupun perempuan – dari terpesong dalam apa jua situasi..

Betapa pentingnya peranan wanita itu terletak pada berat dan sukarnya tanggungjawab yang dipikul dan diletakkan di atas bahunya – tanggungjawab dan sesetengah kesukaran yang tidak mampu lelaki pegang atau laksanakan. Sebab itulah pentingnya ke atas seseorang itu memperlihatkan rasa penghargaannya terhadap seorang ibu, dan berlaku baik serta menyayanginya. Dalam hal ini, kedudukan seorang ibu lebih tinggi dari kedudukan seorang bapa..

Abu Hurairah r.a meriwayatkan : Seorang lelaki datang menemui Rasulullah SAW dan berkata, “Wahai Rasulullah! Siapakah yang perlu aku perlakukan dengan baik?” Baginda berkata. “Ibumu.” Lelaki itu bertanya, ”Kemudian siapa?” Baginda berkata, ”Ibumu.” Kemudian lelaki itu bertanya lagi, ”Kemudian siapa?” Baginda berkata, ”Ibumu.” Lelaki itu bertanya lagi untuk kali keempat, ”Kemudian siapa?” Baginda berkata, ”Bapamu.” [Bukhari, Muslim]

Lihatlah betapa pentingnya seorang ibu diberi 3 kali penghargaan berbanding seorang bapa.

Sebagai seorang isteri, status dan peranannya adalah untuk ketenangan dan keamanan jiwa, hal ini jelas dinyatakan dalam ayat Al-Qur ’an yang mulia. Allah SWT berfirman:

”Dan di antara tanda-tanda Yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, Bahawa ia menciptakan untuk kamu (Wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya Yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang Yang berfikir.” [QS30. Ar-Ruum ayat 21]

...Jangan kita lupa pada Saidatina ’Aaishah r.a dan peranannya yang sangat besar. Sahabat-sahabat muktabar pun merujuk dan mengambil hadith-hadith darinya, dan kebanyakkan sahabiah juga mempelajari berbagai jenis hukum-hukum yang berkaitan dengan isu kewanitaan darinya...

Dan saya tidak mempunyai keraguan bahawa ibu saya – Semoga Allah merahmatinya – memainkan peranan yang sangat penting ke atas diri saya, dalam menggalakkan saya terus menuntut ilmu, dan membantu saya terus maju. Moga Allah SWT meningkatkan ganjaran kepadanya dan memberinya sebaik-baik ganjaran atas apa yang telah dilakukannya buat diriku.

Dan tidak ada keraguan juga, rumah yang di mana di dalamnya ada kebaikan, kelembutan, kasih sayang dan saling mengambil berat serta Tarbiyyah Islami yang jelas berjalan seiring memainkan peranan yang sangat besar dalam menghasilkan insan yang berperibadi mulia. Dengan izin Allah – akan menghasilkan orang yang berjaya dalam hubungannya dengan manusia dan Allah serta apa jua keadaan – sama ada dalam mencari ilmu pengetahuan, dalam jual beli (perniagaan), keperluan hidup atau yang selain darinya.

Oleh itu hanya pada-Nya saya memohon kebaikan dan petunjuk kepada kita semua dalam mencari kasih sayang dan keredhaan-Nya. Ya Allah, restuilah dan sejahterakanlah junjungan kami Nabi Muhammad SAW, keluarga dan para sahabat Baginda semuanya.

Amin, Ya Rabbal ’Aalamiin.

Shaikh Ibn Baz

Terjemahan dari Majalah Muslim Youth, Winter 2008,Issue 4, Page 9