Monday, August 25, 2008

Ready, Set, RAMADHAN!

Alhamdulillah lagi beberapa hari lagi kita bakal bersua dengannya – Ramadhan al-Mubarak. Adakah kita bersedia untuk menemuinya? Terutama adik-adik student ni dah sedia ke? Apa persediaan kita, matlamat kita bila bakal bersua dengannya? Sudah tentu kita semua nak dapatkan keberkatan dalam bulan Ramadhan yang mulia ni kan.

Sebelum Ramadhan tiba, kita kena lakukan persediaan dari segi mental sebab ianya sangat penting dan jangan lupa disertakan doa. Rasulullah S.A.W pun berdoa apabila hampir menjelangnya Ramadhan, baginda berdoa agar Allah S.W.T temukannya dengan bulan Ramdhan. Baginda S.A.W sendiri pun tak sabar-sabar nak menyambut kedatangan Ramadhan. Kita macam mana? Dah bersedia ke belum. Jadi bersiap sedialah kita nak sambut kedatangan bulan Ramadhan. Cuba tanya diri kita, macam mana tahun ni aku nak jadikan Ramadhan lebih bermakna dari bulan-bulan yang lain? So jom kita mula buat sedikit sebanyak persediaan awal. Kita semak jadual harian kita – tak kira la jadual kuliah ke group discussion ke halaqah ke ... Tengok-tengok sama – Periksa? Tests? Due date assignments? Lab reports? Komitmen-komitmen lain? Bila masanya Iftar (berbuka puasa)? Bila masa taraweeh? Bila waktu bersahur? Berapa banyak masa tidur yang perlu di peruntukkan? Itu dan ini kita perlu perhatikan dan atur sebaik mungkin sebagai persediaan menemui Ramadhan. Bila semuanya teratur, Insya Allah semuanya akan menjadi mudah.

Nak pesan kat adik-adik ni, bukan untuk adik-adik saja tapi sahabat n sahabiah pun sama. Cuba kita latih diri bangun awal dari sekarang, ada yang liat-liat nak bangun tu minta kawan kejutkan. Belila jam tambah dua ke tiga ke kalau rasa diri susah nak bangun. Latih-latih diri bangun buat qiyamulail bagi yang tak pernah ke jarang-jarang ke. Bagi yang dah biasa lakukan, tingkatkan lagi. Jadikan hari ini lebih baik dari semalam dan hari esok lebih baik dari hari ini. Insya Allah boleh. Ingat tau puasa tu wajib, tak boleh tinggal-tinggal kecuali uzur syar’ie!

Ahlan wasahlan ya Ramadhan!
P/S : Jangan lupa Click Poll kat sebelah kiri.."Have you planned for Ramadhan?"

Friday, August 22, 2008

Bilakah Masanya kan Tiba?



Ya. Masanya pasti akan tiba. Semuanya ketentuan Allah S.W.T. Bila umur menginjak dewasa kita sering di tanya, ”Bila nak jemput mak cik makan nasi minyak?” atau ”Ni bila lagi?”. Semuanya berbentuk kiasan yang bahasa directnya ”Bila nak walimah?” Ana pasti ramai yang pernah mengalami, sedang mengalami dan akan mengalami situasi-situasi begini.

Setiap orang pasti mempunyai pendapat dan pandangan yang berbeza. Bila soal perkahwinan diperkatakan pada masa kini, ramai yang mengatakan perkahwinan yang di atur atau arrangement marriage sudah tidak lagi relevan. Muda-mudi sekarang sibuk mencari pasangan 'ideal’ atau 'mr/ms perfect’ atau apa saja istilahnya. Tapi sedarkah berapa banyak masa yang terbuang dan berapa banyakkah wang yang di baziri? Dan pelbagai lagi pembaziran yang tidak disedari. Pada realitinya, Islam adalah agama yang lengkap dengan jalan penyelesaian dalam setiap permasalahan hidup. Islam itu adalah agama fitrah, malah ia tidak memburukkan keadaan sesuatu permasalahan yang berlaku.

Cuba kita lihat sejenak suasana atau tatacara hidup di barat yang mengamalkan cara hidup bebas. Bagaimana saudara-saudara kita yang seIslam menghadapinya? Terutama para muslimin. Ujian dan dugaan yang mereka hadapi tidak kurang hebatnya. Mereka terpaksa menepis dan menghadapi pelbagai godaan yang datang menyerang di setiap penjuru. Sewaktu ke sekolah, ke tempat kerja malah sepanjang perjalanan mereka berhadapan dengan pelbagai bentuk godaan; di media massa dan di tempat kerja. Begitulah sebenarnya situasi yang kita hadapi walaupun majoriti kita mengaku beragama Islam.

Prophet SAW said, ”O young men, those among you who can support a wife should marry, for it restrains the eyes from casting (evil glances), and preserves one from immorality..." Bila kita betul-betul bersedia atau pun serius untuk melangkah ke alam perkahwinan, tanyalah diri kita – Pasangan yang bagaimanakah yang kita mahukan? Dan bagaimanakah kualiti yang perlu ada pada dirinya untuk melaksanakan tugas-tugas Islami dan kerukunan rumah tangga?

Bagi ana perkahwinan merupakan suatu perkara yang sangat serius dan memerlukan permulaan yang baik. Jika seseorang wanita dikahwini atas alasan yang tidak kukuh atau wrong reason sudah pasti ia boleh melemahkan institusi rumahtangga muslim (baitul muslim) itu sendiri. Ingatlah wanita yang dikahwini itu akan menjadi temanmu seumur hidup dan dia juga memainkan peranan membentuk peribadi anak-anak atau generasi yang bakal lahir. Janganlah dikahwini kerana hartanya (kekayaannya), tetapi kahwinilah dia kerana kekayaannya dalam perjuangan Islam dan kekayaan ilmu pengetahuan yang dimilikinya kerana ia bermanfaat untuk pembangunan ummah. Janganlah dikahwini kerana status dalam kehidupannya kerana ia adalah satu ilusi semata-mata, tapi pilihlah dia kerana statusnya pada pandangan Allah S.W.T. Jangan dipilih kerana kecantikan fizikal kerana kecantikan fizikal yang dilihat hanyalah pada luaran sahaja, tetapi pilihlah dia kerana kecantikan Iman yang ada pada dirinya kerana kecantikan Iman mengatasi segala-galanya.

Begitu juga sebaliknya apabila memilih si suami. Seorang lelaki apabila dikahwini pada alasan yang tidak kukuh boleh mewujudkan suasana yang sukar digambarkan dan penuh dengan penyesalan yang akan terbawa-bawa sepanjang kehidupan alam rumahtangga. Apabila kualiti keduniaan dan fizikal yang dicari (mempunyai jawatan yang gah di mata masyarakat, rupa yang kacak di tambah dengan berharta) tapi tanpa sifat-sifat Islam ia adalah sangat bertentangan dengan apa yang pernah Rasulullah S.A.W pesan.

Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a., ia berkata: Rasulullah bersabda:
“Wanita dinikahi karena empat perkara; karena hartanya, karena kedudukannya/keturunannya, karena kecantikannya dan kerana agamanya. Maka, pilihlah yang baik agamanya niscaya engkau beruntung.” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari (3/242), Muslim (2/1086), Abu Dawud (2047), an—Nasaa’i (6/68) dan Ibnu Majah (1858))

Hadith ini juga menjadi pedoman buat kita sebagai wanita apabila memilih kriteria calon suami. Kerana mereka yang baik agamanya dan lebih bertaqwa adalah mulia dan dipandang tinggi di sisi Allah S.W.T. Firman Allah S.W.T:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ (١٣


13. Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu Dengan Yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang Yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan Yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu). [QS49. Al-Hujuraat ayat 13]

Mungkin ada daripada kita yang berfikir dirinya mampu memperbaiki peribadi atau sifat pasangannya kemudian hari, sebenarnya kesemua konsep yang salah sering dipegang oleh kebanyakan daripada kita tidak kiralah samada lelaki mahupun perempuan. Semuanya bermula dengan pemilihan kriteria seseorang itu, pegangan agamanya dan yang paling penting cara permulaan yang dipilih samada cara yang diredhai atau cara yang tidak diredhai. Jika permulaan yang dipilih adalah baik, InsyaAllah ia akan mewarnai perhubungan yang diredhai Allah S.W.T.

Jangan lupa untuk memohon pada-Nya agar di pertemukan dengan pasangan yang diredhai-Nya. Sewaktu berdoa, sebutlah nama-nama indah yang di miliki-Nya (Asma Allah). Mintalah pada-Nya teman hidup yang taat dan patuh pada agama dan perintah-Nya, penyabar dan sebagainya. Salah satu doa yang terdapat dalam Al-Qur’an:


وَالَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا (٧٤

74. dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) Yang berdoa Dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah Kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara Yang menyukakan hati melihatnya, dan Jadikanlah Kami Imam ikutan bagi orang-orang Yang (mahu) bertaqwa. [QS25. Al-Furqaan ayat 74]

Ana tak mampu nak bagi kesimpulan yang sebaik mungkin. Cuma apa yang boleh ana katakan; letaklah pengharapan dan kepercayaan sepenuhnya pada kekuasaan dan rahmat Allah S.W.T dalam kehidupan kita. Dia Maha Mengetahui segala yang tersembunyi. Semoga Allah membantu kita dalam usaha mematuhi perintah dan syariat-Nya serta sunnah Kekasih-Nya (Nabi Muhammad S.A.W), dan menemukan kita dengan pasangan yang diredhai-Nya.

Allah S.W.T berfirman:


وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ (١٨٦

186. dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang Yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul. [QS2. Al-Baqarah ayat 186]

Dari firman-Nya telah dinyatakan berdoalah untuk memohon pertolongan dari-Nya sesunggunya Allah itu sentiasa hampir dengan kita. Tapi pastikan kita juga mencari "the one” dan bukan hanya sekadar berdoa tanpa melakukan sebarang ikhtiar. Maksud ana mintalah bantuan Mas’ul Halaqah, ibubapa, saudara mara mahupun sahabat handai yang theqah. Ingatlah doa itu adalah kekuatan orang-orang mukmin dan jangan lupa melengkapkan diri kita dengan ilmu-ilmu milik Allah sebagai persediaan dalam memenuhi keperluan menuju alam perkahwinan.

Ya Allah bantulah sahabat-sahabat dan sahabiah-sahabiahku di luar sana dalam mencari pasangan untuk melengkapkan separuh dari iman mereka. Amen..

Oleh: Fatimahtuzzahrak bt Mohamad

Thursday, August 21, 2008

Perjalanan Menemui “Rinduku”

Jazakallah buat Abu Muaz, bonda dan ayahanda tercinta kerana mengizinkan ana menemui ‘rinduku’ nun jauh di Pantai Timur. Perjalanan ana bermula 13 Ogos 2008 bersamaan 11 Sya’ban 1429 dari Stesen bas Sungai Nibong. Syukran tuk Kussay dan Osama junior tak lupa juga pada Misam kerana sudi menghantar ana ke stesen bas.

Ya Allah rasa tak sabar untuk menatap wajah-wajah yang daku rindui...Fatimah Syarha, Ahlami, Atiqah Najwa, dan Meyra. Alhamdulillah, lebih kurang 5 pagi ana selamat sampai di stesen bas Kuala Terengganu. Akhirnya dapat jua ana bersua dengan sahabiah yang ana rindui, Fatimah Syarha. Kelu tak terkata. Terima Kasih Ya Allah atas pertemuan yang aku nanti-nantikan. Melihatnya mengingatkan ana pada sahabiah yang ana cintai, Ummu ’Abdullah Amin sekaligus bersyukur pada-Nya atas ukhuwah yang terbina. Bila bertemu tidak jemu, bila berpisah tidak gelisah. Terasa segala-galanya indah bila ukhuwah kerana-Nya.

Tapi masa tak mengizinkan untuk ana menemui teman seperjuangan di arena akademik, Atiqah Najwa dan Meyra. Insya Allah suatu hari nanti pasti kita bertemu kembali. Mabruk buat Atiqah Najwa dan pasangan, Iruwanizuddin atas walimah pada 16 Ogos 2008. Moga berkekalan hingga ke syurga dengan izin-Nya.

Sepanjang di rumah Ha, ana bertaaruf dengan bonda dan ayahanda Ha tercinta; serta adik-beradik (8) dan kakak ipar Ha terutama Kak Farah, Kak Ros dan Asiah Yusro. Tak lupa pada kanak-kanak riang yang ragam mereka sentiasa mencuit hati; Elya Khadeeja, Maryam Soffiya, Sara, dan si comel Fatimah Adnin.

Yang paling tak dapat ana lupa cara buat lempok durian siap mengacau lagi. Penat mengacau tapi seronok. Ketawa nenek Ha tengok cara kami kacau lempok. Macam-macam ragam.

Hari Sabtunya, 16 Ogos 2008 bertemu lagi dengan insan-insan istimewa; Kak Asfa, M.cik Liza dan keluarga, Raudhah, Mar, dan Syu. Insan-insan yang sentiasa mengingatkan hubungan dengan-Nya. Terasa indah sampai tidak mampu diluahkan oleh kata-kata. Usik-mengusik juga tak lekang sebagai pengikat ukhuwah. Menceriakan lagi suasana.

Alhamdulillah 17 Ogos 2008 bersamaan 15 Sya’ban 1429, sahabiah yang daku cintai, Fatimah Syarha selamat diijabqabulkan dan bergelar isteri kepada Dr. Farhan Hadi. Ya Allah, kekalkanlah ikatan ini hingga ke syurga dengan izin-Mu dan kurniakanlah mereka zuriat yang menjadi penyejuk di mata dan di hati. Amen..

Perjalanan ana di teruskan petang 15 Sya’ban ke Kota Bharu utk menemui ”rinduku” yang seterusnya, Ahlami Abdullah Akhili. Syukran buat teman seperjuangan sewaktu di UMS, Asmila dan keluarga atas layanan mesra. Insya Allah suatu hari nanti ana akan berkunjung ke rumah mila semula.

Akhirnya 16 Sya’ban 1429, bersua jua ana dengan Ahlami (ami) di rumahnya. Alhamdulillah terubat rindu di hati bila bersua dengan insan-insan yang dirindui sekian lama. Syukran buat bonda Ami sekeluarga, atas ukhuwah yang terjalin. Hanya Allah saja yang tahu apa yang tidak dapat ana ungkapkan sewaktu bertemu. Mabruk ya Habeebati, Ahlami. Walaupun sekejap tapi buatkan ana rasa puas bertemu dengan insan-insan yang dirindui. Insya Allah satu ketika kita pasti bertemu kembali.

Sahabiah-sahabiah yang sentiasa dirindui

Faham dan Ketahuikah Kita Apa yang Ada di dalam HATI Seseorang?

Dalam kesibukan dan kebuntuan mencari idea untuk membuat MATLAB programming bagi detection of cervical cancer membuatkan ana berhenti sejenak. Rasa sesuatu yang perlu ana luah dan coret buat renungan kita semua.

Pernahkah kita terfikir faham dan ketahuikah kita apa yang ada di dalam hati seseorang samada kawan rapat kita atau kawan yang meluahkan sesuatu pada kita? Cuba kita renung-renung kembali apa yang berlaku dalam kehidupan kita seharian. Kadang-kadang kita berlagak seolah-olah kita memahami apa yang diceritakan oleh sahabat kita. Lalu terhasillah nasihat-nasihat yang adakala sebenarnya mengguris perasaan sahabat kita yang meluahkan isi hatinya. Kita sebenarnya tersalah menggunakan kaedah pendekatan. Sepatutnya kita raikan kesudian sahabat kita yang pada hakikatnya mempercayai kita untuk diluahkan isi hatinya.

Contoh dialog yang acapkali kita dengar dalam kehidupan para remaja:

Alkisah si A menceritakan perihal isi hatinya pada si B. Si A menyatakan kelegaannya apabila meninggalkan cinta manusia kerana rasa nikmatnya pada kasih sayang Allah.

A: Assalamualaikum
B: Wa’alaikumussalam
A: Anti, ana rasa lega sangat hati ana setelah berpisah dengan si dia.
B: Erm...
A: Ana rasa jiwa ana tenang, tidak ada lagi resah mahupun gelisah.
B: Jika anti memang dengan si dia?
Si B cuba menduga si A.
A: Itu ketentuan Allah, Dia Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk makhluk-Nya. Jika itu yang telah Dia taqdirkan. Ana redha dengan ketentuan-Nya.
B: Anti?! Anti lepaskanlah si dia...Kenapa nak diingat-ingat..Anti lepaskan saja si dia...

Si A lantas terdiam bila diperkatakan begitu. ’Ya Allah aku meluahkan apa yang terdapat di dalam hatiku, tapi disalah ertikan..’

Perasan tak kita, apa yang si B fahamkan? Memang pada awalnya si B cuba untuk menguji si A, si B cuba untuk melihat si A betul-betul istiqamah atau tidak dengan keputusan yang dibuat. Tetapi pada hakikatnya fahamkah si B apa yang ada di dalam hati si A? Tidak. Sebab itu berhati-hatilah kita dalam bertutur terutama apabila mendengar luahan hati sahabat kita. Sepatutnya si B ucaplah Alhamdulillah, itulah yang sebaiknya bila pergantungan diletakkan pada Allah. Baru ini dikatakan si B meraikan luahan hati sahabatnya, si A. Itulah hakikatnya lidah lebih tajam daripada mata pedang.

Wallahu’alam. Ini cuma pendapat ana mungkin pendapat setiap individu berbeza.

Thursday, August 7, 2008

Takwin Wa’yul Islami Asas Hamba Rabbani dalam memikul Tanggungjawab Dakwah dan Tarbiyah

PENCERAMAH: Akhi Sharihan bin Shahidan
Tarikh: 19 Julai 2008

Muqaddimah

Realiti umat Islam yang:
  • Tidak menghayati Islam secara menyeluruh
  • Terpengaruh dengan pengaruh asing
  • Fahaman Juz’iyyah
  • Kehilangan contoh amali

Realiti Umat

Akan datang pada manusia satu zaman, di ketika itu Islam tidak tinggal melainkan namanya, dan Al-Qur’an tidak tinggal melainkan tulisannya, masjid-masjidnya indah namun kosong dari petunjuk, ulama’-ulama’nya termasuk manusia yang paling buruk yang berada di bawah kolong langit kerana dari mereka timbul beberapa fitnah dan akan kepadanya. (Hadith)




Rasulullah SAW bersabda: “Suatu masa nanti kalian akan dikerumuni oleh berbagai suku bangsa seperti mereka mengerumuni makanan.” Salah seorang sahabat bertanya, ”Apakah kami saat itu minoriti ya Rasulullah?” ”Tidak,” jawab Rasulullah ”bahkan kalian saat itu majoriti tetapi hanya ibarat buih (busa). Allah hilangkan rasa takut di hati musuh-musuh kalian dan Allah tumbuhkan di dalam hati kalian kehinaan!” Lantas ada yang bertanya, ” Kehinaan bagaimana ya Rasulullah?” Baginda pun menjawab, ”Cinta dunia dan takut mati.”

Kelemahan Ummah

Kelemahan dalam kapasiti intelektual (Al-Jahlu):
· Dho’fut Tarbiyah (lemah dalam pendidikan)
· Dho’fut Tsaqofah (lemah dalam ilmu pengetahuan)
· Dho’fut Takhthith (lemah dalam perencanaan)
· Dho’fut Tanjim (lemah dalam pengorganisasian)
· Dho’fut Tanfidz (lemah dalam memobilisasi potensi-potensi diri)

Kelemahan dalam permasalahan moral (Maradun Nafs):
· Adamus Saja’ah (hilangnya keberanian)
· Adamus Sabat (hilangnya sikap teguh pendirian)
· Adamut Dzikriyah (hilangnya semangat untuk mengingat Allah)
· Adamus Sabr (hilangnya kesabaran)
· Adamul Ikhlas (hilangnya makna Ikhlas)
· Adamul Iltizam (hilangnya komitmen)

Harapan Kita

”Islam telah bermula dengan dagang dan ia akan kembali dagang, maka berbahagialah mereka bersama Islam di waktu ia dagang.” (Hadith riwayat Muslim)

  • Harakah Islam sebagai ganti khilafah yang hilang.
  • Tugas harakah Islam adalah berusaha mengembalikan Islam pada tempatnya.
  • Usaha ini memerlukan kesungguhan, kesedaran dan kefahaman yang sebenar.
  • Anggota harakah dikehendaki memiliki wa’yun Islami supaya menjadi da’ie yang faham matlamat sebenar.

Amal Qawi di Tahap Sekarang:

  • Pembentukan Wa’yun Islami (bentuk kefahaman dan kesedaran yang sebenar)
  • Ijad Rakaiz Al-Islamiyah (tubuh kumpulan atau paksi Islam selepas memberikan wa’yun Islami”


Takwin Wa’yil Islami

  • Takwin bermaksud pembentukan
  • Wa’ bermaksud memahami hakikat sesuatu. – mengetahui dan memahami sesuatu secara sedar bukan sekadar maklumat semata-mata.
  • Takwinul Wa’yil Islami bermaksud pembentukan kefahaman dan kesearan Islam yang sebenar.

Dua Dasar Utama:

  1. Ikhlas – hendaklah dilakukan kerja dengan ikhlas kerana Allah
  2. Syara’ – kerja dilakukan mengikut garis panduan syara’

TAQWA itu ibarat orang yang berjalan di jalan yang berduri. Bagaimana dia berjalan? Sudah tentu dia berjalan dengan penuh berhati-hati.

Duri itu ibarat dosa kecil dan luka itu ibarat perkara yang makruh. Sudah tentu luka itu pedih apabila terkena air.

Perkara yang perlu di Banteras:

Fahaman Sekular

  • Bermula sejak abad ke 18 Masihi
  • Kejatuhan kerajaan Uthmaniyah
  • Di Malaysia secara rasminya termeterai perjanjian Pangkor 1874


Intipati Fahaman Sekularisme

  • Pisah unsur rabbani/agama dari sistem/manhaj hidup manusia
  • Tolak sumber hukum Allah dan Rasul-Nya
  • Tolak keimanan kepada Allah dan apa jua bentuk keagamaan
  • Jauhi ajaran agama dalam budaya, pendidikan dan akhlak.
  • Tolak aqidah sebagai asas kesetiaan (wala’) dan penggabungan diri (intima’)
  • Dirikan kerajaan atas konsep kemodenan tanpa terikat unsur agama sedikitpun
  • Beriman dengan apa yang dicapai oleh pancaindera
  • Usaha bersungguh-sungguh memalingkan umat dari amal akhirat kepada keenakan duniawi


Faktor Menular Ke Timur (dinyatakan oleh Muhammad Qutb)

  • Hasrat untuk lemahkan Islam.
  • Niat pembaharuan oleh ahli sains
  • Sikap dan neraca umat Islam sendiri.

Wasilah Dakyah

  • Guna golongan Orientalis.
  • Guna golongan missionari
  • Guna agen orang Islam yang mereka asuh
  • Serangan pemikiran (al-Ghazwul Fikri)

Serangan Ghazwul Fikri

Hancurkan akhlak muslim

- Hapuskan teras ajaran Islam yakni akhlak umat yang bermula pada individu
- Umat terpesong dari landasan agama dan mengambil cara hidup barat
- Mulai jebakkan umat denngan arak, judi, seks, riba dan pelbagai dosa/pintu-pintu maksiat.
- Kemudian serap perasaan/pemikiran ringankan urusan agama, remeh aqidah, cuai ibadah dan pelbagai pemikiran sesat/batil.
- Rosak generasi umat akan rosak masa depan umat dan Islam.

Hancurkan Sistem Pendidikan

- Menubuhkan sekolah – sekolah yang memperkenalkan sistem dan pelajaran yang memisahkan agama.
- Ajar anak-anak dengan sistem yang digunakan oleh barat.
- Kawal/ ketatkan pengajian Al-Qur’an – asingkan dari pelajaran bahasa kebangsaan
- Menghakis penggunaan tulisan Al-Qur’an dan jawi.

Sasaran Al-Ghazwul Fikri (kesan dan akibat)

· Individu
· Institusi keluarga
· Sistem pendidikan
· Sistem ekonomi
· Media dan hiburan
· Sistem politik

Natijah
- Jahiliyyah mengawal dunia
- Tersebarnya khurafat, pembohongan dan propaganda sesama manusia
- Umat cenderung ke arah kebatilan dan syahwat serta bertuhankan nafsu
- Tunduk patuh dan penguasaan dunia berlaku oleh bangsa yahudi dan umat menyerah kalah
- Berpaling daripada keaslian ilmu, manhaj pemikiran dan tasawur
- Ketepikan Islam dari kepimpinan sebenar

Keyakinan terhadap sistem demokrasi

- Sudah menjadi darah daging masyarakat
- Wakil rakyat menjadi badan tertinggi yan g berautoriti secara multak menggobal undang-undang
- Islam – kuasa mutlak ialah Allah SWT

Membetulkan Aqidah dan Ibadah

  • Penanaman Wa’yul Islami perlu bermula dengan memperbetulkan konsep syahadah
  • Ibadah hendaklah mengikut kefahaman generasi awl Rasulullah, generasi sahabat dan seterusnya yang merangkumi seluruh kehidupan individu, masyarakat mahupun negara.
  • Generasi awal menganggap hidup seluruhnya adalah ibadah.
  • Perlu menjelaskan Islam yang syumul kepada masyarakat.
    - secara umumnya manusia adalah memang hamba Allah SWT
    - tetapi secara praktikalnya manusia tidak semua sebagai hamba Allah dalam erti kata dia taat atau ingkar pada perintah Allah SWT
    - manusia sekarang kebanyakannya seolah-olah mempunyai fikrah seperti Abu Jahal iaitu mempercayai apa yang disampaikan oleh Rasulullah SAW tetapi tidak mahu ikut dan patuh pada apa yang telah disampaikan.. nauzubillah kita tergollong dalam fikrah seperti Abu Jahal.


Kejahilan Masyarakat tentang Islam

  • Hati dan tuturkata tidak seiring
  • Kejahilan ini membawa mereka jauh dari Allah
  • Kejahilan mereka ialah kejahilan tentang hakikat Islam yang sebenar
  • Kejahilan yang membawa mereka yakin dengan ideologi lain.

Kembali kepada Sumber-sumber yang Sohih

  • Mesti kembali kepada Kitabullah dan Sunnah Rasulullah SAW
  • Mesti kembali kepada kefahaman Islam yang sebenarnya seperti yang ditanzilkan oleh Allah SWT.
  • Mesti kembali kepada Islam yang disampaikan oleh Rasulullah SAW


Contoh yang paling cantik lagi indah adalah persoalan solat. Pada zaman Rasulullah SAW persoalan solat adalah permasalah jama’ie bukan hal individu.
Usrah atau Halaqah menjadi nadi dalam kehidupan para sahabat.

Tahap Wa’yun Islami yang mesti diwujudkan

  • Laksanakan sehingga masyarakat merasa selesa dan berhajatkan Islam yang Syumul
  • Sehingga mereka ingin mempertahankan Islam dan merasakan Islam wajib dilaksanakan dalam kehidupan.

    Oleh itu pelbagaikanlah Uslub dalam penyebaran dakwah.

    Contohi Cara Rasulullah SAW:

    5 Tahap perkembangan Rasulullah SAW
  1. Pertumbuhan
  2. Pencarian jati diri
  3. Pembentukan jati diri
  4. Pengembangan jati diri
  5. Pewarisan jati diri

    Nabi Muhammad SAW bersifat kreatif dalam menyampaikan dakwah. Baginda mencuba untuk mencari pengalaman. Contohnya:

    Rasulullah SAW menjemput saudara-maranya makan, selepas itu baginda mula menyampaikan dakwah baginda tetapi tidak berkesan kerana ada gangguan dari Abu Jahal.

    Pada kali keduanya baginda menjemput lagi saudara-maranya makan, tetapi kali ini baginda menyampaikan dakwah sewaktu mereka semua sedang makan.

    Ini merupakan salah satu contoh dakwah baginda selain cara penyampaian Baginda yang lain.

Monday, July 21, 2008

Kasihnya ALLAH pada Wanita

Keistimewaan yang Tuhan berikan kepada wanita terlalu banyaknya". "Kasihnya Tuhan kepada wanita!" Itulah kata-kata yang paling mudah digunakan untuk menggambarkan 'layanan' istimewa terhadap wanita dalam Islam. Sesungguhnya, tidak akan ada mana-mana ajaran, ideologi, isme atau agama lain yang dapat melayan wanita dengan sebegitu baik sepertimana Islam melayan wanitanya. Malah, kalau bergabung pun kesemua wanita yang cerdik pandai, berharta dan berkuasa di seluruh dunia ini untuk menambah hak dan pengiktirafan buat mereka, mereka pasti tidak akan mencapai taraf kemuliaan serta layanan baik yang Allah SWT tawarkan buat seorang wanita di dalam Islam.

Namun, ramai wanita yang tidak memahami hal ini. Lantaran itu kebanyakan mereka tertipu oleh nafsu sendiri dan merasa terkongkong dengan amalan atau larangan tertentu yang digunakan ke atas wanita Islam seperti amalan menutup aurat, larangan bergaul bebas, poligami, larangan wanita menjadi pemimpin dan lain-lain lagi. Mereka cukup takut dan gerun dengan kesemua amalan atau larangan yang dianggap sangat menindas wanita. Walhal kalau dikaji setiap satu amalan atau larangan itu, mudah sahaja untuk melihat hikmah dan kebaikannya kepada kaum wanita itu sendiri.

Lalu kita melihat apa yang diperjuangkan oleh pejuang-pejuang hak wanita ialah mereka kalau boleh tidak mahu sebarang sekatan dikenakan ke atas mereka. Tentulah ini tidak munasabah. Sedangkan manusia sendiri banyak membuat peraturan-peraturan serta larangan itu dan ini, atas alasan hendak menjaga keselamatan diri atau masyarakat awam. Contohnya, dalam soal lalu-lintas, terlalu banyak peraturan dan larangan yang manusia buat seperti jangan memandu melebihi had laju, tidak boleh letak kereta di garisan kuning, mesti berhenti apabila ada isyarat lampu merah, mesti hidupkan lampu selepas pukul 7 malam dan berbagai-bagai lagi. Kalau dalam bidang sekecil ini pun perlu banyak peraturan dan larangan, sudah tentulah dalam bidang kehidupan lebih memerlukan lagi, dan lebih-lebih lagilah kalau skopnya itu jauh lebih luas iaitu untuk keselamatan dunia dan Akhirat.

Tuhan sebenarnya sangat kasih dan memuliakan kaum wanita. Segala suruhan dan larangan yang Tuhan kenakan ke atas kaum wanita tidak lain dan tidak bukan ialah untuk memastikan keselamatan dirinya dan masyarakat dan sekali-kali bukan untuk menyusahkan mereka. Tetapi, atas hujah dan alasan apa dakwaan ini dibuat? Mari kita lihat satu persatu pengiktirafan yang diberikan olehTuhan kepada wanita, sama ada setara langsung atau pun tidak.

i) Gelaran bagi `isteri' di dalam Al Quran


Perkataan yang Allah SWT gunakan di dalam Al Quran untuk menunjukkan suami atau isteri adalah perkataan yang sama, sedangkan dalam bahasa- bahasa lain, perkataan untuk suami dan perkataan untuk isteri menggunakan dua perkataan yang berbeza. Misalnya, dalam bahasa Inggeris, perkataan untuk suami ialah `husband' manakala perkataan untuk isteri ialah `wife'. Sementara dalam bahasa Perancis pula, perkataan untuk suami ialah `mari' manakala perkataan `femme' untuk isteri.

Tetapi di dalam Al Quran, suami dan isteri tidak disebut dua perkataan yang berbeza `zaujuh' dan `zaujati'. Hanya satu perkataan yang digunakan untuk kedua-duanya iaitu `zaujuh' yang bermakna `pasangan'. Islam melihat suami dan isteri adalah pasangan, penutup dan juga pelindung buat yang lain. Mereka dilihat sebagai sepasang, bukan berasingan. Sudah tentulah ini bermakna yang kaum lelaki di dalam Islam tidak dianggap lebih mulia daripada kaum wanitanya. Apabila kita mengatakan sepasang kaca mata, sepasang stokin atau sepasang baju, tentulah kita menganggap mereka setara dan tidak dapat dipisahkan di antara satu sama lain. Dan sudah tentulah kita tidak menganggap yang stokin kanan lebih hebat daripada stokin kiri atau kaca mata kanan lebih baik daripada kaca mata kiri. Begitulah tamsilannya sepasang suami isteri di dalam Islam seperti yang tercatat di dalam Al Quran.

Namun, gelaran zaujuh ini hanya diberikan kepada isteri yang sama beriman. Bagi isteri yang tidak beriman, mereka tidak disebut zaujuh. Contohnya, isteri Nabi Lut dan isteri Nabi Nuh. Di dalam Al Quran, mereka disebut 'imraah', kerana isteri sebegini tidak dianggap pelengkap, pelindung atau penutup kepada suaminya.

ii) Pembelaan Rasulullah SAW Terhadap Wanita

Rasulullah SAW ada banyak menyatakan Hadis-Hadis yang menunjukkan betapa wanita itu dimuliakan di dalam Islam. Antaranya:

a. "Syurga di bawah telapak kaki ibu." Apakah wanita tidak rasa mulia dengan Hadis ini? Mengapa Rasulullah SAW memilih perkataan "di bawah telapak kaki" dan bukan "di dalam tangan" atau "di sisi" seorang ibu? Sudah tentu ini sangat menggambarkan mulianya seorang wanita di dalam Islam. Seorang yang faham tentu akan sangat memandang mulia, menghormati, membela serta berlumba-lumba untuk berkhidmat dan meng'hamba'kan diri kepada ibunya (dengan syarat segala yang dibuat itu tidak melanggar syariat). Tidakkah beruntung menjadi seorang ibu di dalam Islam? Dia tidak akan terbiar dan dipinggirkan, malah akan sentiasa dibela, dihormati dan dimuliakan oleh anak-anaknya.

b. "Orang yang paling baik dari antara kamu itu ialah yang paling baik kepada isi rumahnya, dan aku ini orang yang paling baik dari antara kamu kepada isi rumahku."

c. "Tidak akan memuliakan perempuan-perempuan melainkan orang yang mulia, dan tidak menghina akan perempuan-perempuan melainkan orang yang hina."(Hadis riwayat Ibnu `Asakir)

d. "Bergaullah kamu dengan isteri-isteri kamu dengan cara yang sopan. Kemudian bila kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak."

e. "Janganlah seorang mukmin lelaki membenci kepada seorang (isterinya yang) mukminah, kerana walaupun ada satu perangainya yang lelaki itu tidak suka, tetapi (tentu) ada lain perangainya yang is suka."(Hadis riwayat Ahmad dan Muslim)

Demikianlah hak-hak istimewa seorang wanita yang diberi oleh Islam. Dalam satu masyarakat yang bertaqwa, kaum wanita tidak perlu bimbang yang mereka akan diperleceh, dipermain atau diperkotak-katikkan oleh kaum lelaki, sebaliknya mereka boleh yakin bahawa pihak lelaki akan sentiasa melindungi, menasihati, menegur dan membimbing mereka dengan ikhlas.

iii) Bahagian Tubuh Wanita Dianugerahkan Nama yang Mulia

Dalam tubuh wanita, ada satu bahagian yang diberi nana yang begitu mulia iaitu rahim. Perkataan ini diambil dari nama Tuhan, yang bermaksud `Maha Penyayang'. Sudah tentulah Tuhan tidak akan memberikan nama yang semulia ini kepada sesuatu yang hina di sisi- Nya. Sudah tentuTuhan akan memilih sesuatu yang mulia juga untuk dianugerahkan nama yang begitu mulia. Tuhan tidak berikan nama yang semulia ini kepada bahagian tubuh lelaki tetapi Dia memberikannya kepada bahagian tubuh wanita. Rahim inilah yang merupakan penghubung kepada makhluk. Di dalam rahimlah, wanita menjaga ciptaanTuhan dan memberi makan kepada apa yang Tuhan ciptakan.

Kaum wanita sepatutnya merasa sangat malu kepada Tuhan kerana memberi penghargaan yang begitu tinggi kepada mereka. Siapa boleh nafikan kepentingan rahim untuk kewujudan manusia? Anugerah rahim kepada wanita sebenarnya sudah cukup untuk membuktikan akan mulianya wanita di sisi Tuhan.

iv) Diberi Pahala yang Berterusan

Wanita disebut `kurang dari sudut agama', tetapi ini bukan bermaksud yang wanita itu kurang dari sudut iman dan taqwanya. Mereka cuma kurang bersolat ketika datang haid dan nifas. Namun, oleh kerana di waktu-waktu lain mereka sentiasa bersolat, maka sepanjang waktu haid dan nifas itu, Tuhan tetap memberikan juga pahala solat sekiranya mereka dapat bersabar dengan keadaannya yang tidak selesa itu.

Bayangkan seorang wanita yang baru melahirkan anak. Sudahlah digugurkan dosa-dosanya seperti seorang bayi yang baru lahir, diberikan pula pahala solat percuma sepanjang dia dalam keadaan nifas. Dan kalau dia sabar menyusu, memelihara dan melayan kerenah anaknya pula, makin banyaknya pahala yang Tuhan sediakan untuknya.

Aduh! Maha Pemurahnya Tuhan kepada wanita. Maha Baiknya Tuhan kepada golongan yang sering dianggap lemah dan terpinggir ini! Kalaulah wanita-wanita pejuang hak asasi itu tahu begini sekali ganjaran- ganjaran yang Tuhan berikan kepada seorang wanita mukminah, pastilah mereka akan meninggalkan perjuangan mereka. Tidak ada apa-apa lagi hak yang perlu diperjuangkan oleh seorang wanita mukminah. Yang Tuhan tawarkan itu pun sudah terlampau banyaknya.

Noktah Bidayah Yang Jelas Dan Kepentingannya Dalam Tarbiyyah Islamiyah Harakiyah

PENCERAMAH: Abu Umar
Tarikh: 19 Julai 2008

Muqaddimah
  • Apabila berbincang mengenai Tarbiyah Islamiyah Harakiyah kita tidak ada pilihan lain selain kembali menghayati proses didikan generasi pertama yang dididik oleh Rasulullah SAW dengan didikan Robbani.
  • Kerana berharganya sebuah dakwah, Rasulullah SAW sanggup mengorbankan segala-galanya.
Assyahid Hassan alBanna menyatakan:
  1. Kebenaran adalah milik semua
  2. Hakikat persaudaraan adalah sangat penting
  3. Kesatuan umat manusia amat diperlukan untuk membangunkan ummah

Bagaimana Rasulullah SAW mampu membangunkan bangsa Arab menjadi satu umat yang memikul risalah serta mencipta sejarah dan peradaban yang mengagumkan sedangkan sebelumnya mereka adalah masyarakat jahiliyyah yang hina dina dan berpecah belah, membunuh anak perempuan hidup-hidup, minum arak, berzina, berjudi dan sebagainya?
  • Semua ini adalah rahsia al Quran dan pengaruh manhaj tarbiyyahnya dalam meluruskan jiwa dan umat manusia serta membangunkan sebuah harakah Robbaniah
  • Untuk mengetahui hakikat ini kita harus mengenal standard piawaian kejayaan harakah ini.

    Tanyalah diri kita apakah factor kejayaan Rasulullah SAW? :

    Adakah kejayaannya diukur dengan kekuasaan dan perluasan empayarnya sehingga mampu meletakkan Islam pada kedudukan yang terhormat di persada dunia atau mungkin kerana ramainya pengikut atau penganutnya?
  • Sudah tentu tidak, kejayaan harakah ini tidak ditentukan dengan nilaian itu melainkan dengan
    – Fikrah dan keimanan yang mendasarinya
    – Akhlaq dan nilai-nilai yang melandasinya
    – Keluhuran dan keikhlasan pendokongnya serta semangat dan kesungguhan yang dibangunkan di atas ilmu dan kefahaman yang mendalam.

Inilah rahsia kejayaannya iaitu risalah tarbiyyah sebelum risalah hukum, risalah akhlaq sebelum risalah jihad, risalah kesucian hati sebelum risalah kekuasaan dan perluasan empayar.
  • Inilah perkara pertama yang perlu kita lihat sebelum kita memilih bentuk dan pola pergerakan atau harakah kita
  • Harakah itu bermula dari dalam diri kemudian ianya keluar berhadapan dengan sistem yang menguasai persekitarannya.
  • Oleh itu jiwa harakah tidak akan tumbuh pada peribadi yang menumpang kasih sistem yang ada sebagaimana yang disebutkan oleh As Syahid Hassan Al Banna “Tangan yang menerima tidak akan memukul tangan yang memberi”.
As Syahid Hassan Al Banna ada menyebut, “Ramai di antara kita yang membaca sirah dan mengetahuinya tetapi tidak ramai yang mengambil nilai-nilai dari sirah tersebut.”

Kegentingan jiwa terjadi apabila terdapatnya pertembungan di antara iman dan keadaan persekitaran.

Contohnya kisah penaklukan Sepanyol oleh tentera muslimin. Apabila di tanya kepada para paderi mengapa orang-orang kristian tidak marah mahupun menentang apabila mereka dijajah? Para paderi itu dengan jujurnya mengatakan mereka tidak akan bertindak menyerang mahupun menentang selagi orang-orang mukmin masih tidak cintakan pada dunia (harta,pangkat dll).

Titik Mula Yang Betul.
  • Kerja-kerja yang besar ini tentunya memerlukan titik mula yang betul agar pertumbuhan dan perkembangannya selaras dengan landasan yang ditetapkan Allah SWT.

Kebersihan ‘Aqidah
  • Rasulullah SAW pertama kali memperhatikan aspek kebersihan ‘Aqidah Tauhid dan menyucikannya dari berbagai kotoran syirik, kerana itulah dasar yang akan menumpang berdirinya bangunan keperibadian seorang muslim yang selanjutnya akan melakukan dan memasuki fasa pembangunan keluarga, masyarakat kemudian pemerintah dan negara.
  • Rasulullah SAW memperhatikan aspek Tarbiyyah dan Kaderisasi para Rijal ‘Aqidah dan Pasukan Dakwahnya.
  • Ayat-ayat al Qur’an pada fasa ini turun dengan memfokuskan masalahnya pada masalah keimanan kepada Allah s.w.t, pada Hari Akhirat dan pembersihan ‘Aqidah Tauhid.
  • Sahabat-sahabat di ajar untuk bersabar dalam menempuh ujian di samping meyakini janji-janji Allah SWT
  • Itulah Manhaj Perjuangan Rasululllah pada fasa itu. Mempersiapkan Kader Inti yang kuat yang akan menjadi dasar bangunan.
  • Mereka dibina sesuai dengan ayat al Qur’an di Madrasah Rasulullah s.a.w. untuk tunduk pada perintah Allah, dengan melakukan Qiamullail untuk menambah bekal lantaran mereka memikul amanat berat
  • Inilah juga proses pertama yang mesti dilalui oleh mereka yang ingin melibatkan diri di dalam Harakah Islamiyyah, iaitu proses membersihkan hati dari segala Karat-Karat Jahiliyyah dan seterusnya menanam Bibit-Bibit keimanan.
  • Keimanan yang bersih dan murni ini adalah salah satu ciri utama yang menjadikan Generasi Awal Al Qur’an sebagai satu Generasi Yang Cemerlang.
  • Inilah juga proses awal yang perlu dilalui oleh mana-mana ahli-ahli anggota Harakah ataupun Jemaah Islamiyyah yang mengharapkan natijah yang sama.
  • Inilah faktor yang terlebih dahulu dilihat sebelum kita atau mana-mana kumpulan berfikir dan merancang menegakkan peraturan masyarakat yang Islamik, dalam usaha membangunkan sebuah masyarakat atau Ummah Islamiyyah di tengah-tengah kepekatan Jahiliyyah Moden ini.
  • Meyakini Uslub Rasulullah s.a.w adalah bimbingan wahyu Ilahi dan meyakini ‘Uslub Rasulullah s.a.w’ itu sendiri adalah hasil dari proses Tarbiyyah Islamiyyah yang bertolak dari keyakinan kepada Allah s.w.t dan keyakinan kepada Rasulullah s.a.w.

Pembinaan peribadi sebelum pembinaan ummah
  • Rasulullah SAW memulakan dakwahnya dengan membangunkan peribadi sebelum membangunkan ummah. Markas pertama baginda adalah di rumah al Arqam bin Abi al Arqam meyaksikan terkumpulnya peribadi-peribadi dalam bilangan yang kecil.
  • Peribadi-peribadi ini kemudiannya dibentuk dan dibangunkan iman mereka sesuai dengan matlamat tinggi dan mulia yang ingin dicapai. Akhirnya terbentuklah peribadi-peribadi mulia. Mereka yang dibentuk inilah yang akan menjadi tiang-tiang utama didalam pembinaan ummah.
  • Oleh sebab itulah aspek Rabbani dalam Tarbiyah Islamiyah harakiyyah adalah aspek yang paling penting kerana matlamat pendidikan Islam ialah melahirkan insan mukmin dalam pengertian sebenar iaitu insan yang memiliki iman yang menguasai hati dan fikiran, lahir dalam bentuk amalan dan tindakan, seperti yang disebutkan dalam al-athar: “...Ia sebati dalam jiwa dan dibenarkan dalam bentuk amalan.”

    AsSyahid Hassan Al Banna mengatakan bahawa kita semua perlu melihat ketenangan hati dan jiwa para sahabat Rasulullah SAW bukan pada keadaan fizikal mereka.

    Keyakinan para sahabat pada pertemuan dengan yang Maha Pencipta.
  • Tunggak Tarbiyyah Rabbaniyah ialah hati yang subur, sentiasa berhubung dengan Allah SWT, yakin akan menemui-Nya, mengharapkan rahmat-Nya dan takut akan azab-Nya. Jiwa yang hidup inilah yang menjadi tumpuan Allah swt untuk dicampakkan nur kepadanya. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
    “Sesungguhnya Allah tidak melihat pada rupa bentuk kamu tetapi sesungguhnya Dia melihat kepada amalan-amalan dan hati-hati kamu.”
    (Riwayat Ibn Majah)

Keperluan Noktah Bidayah As Sohihah Di Dalam Amal Islami Kini.
  • Kita tidak mahu anggota kita menjadi anggota ikutan. Oleh itu As Syeikh Mustafa Masyhur meletakkan rukyatul wadhih sebagai asas pertama di dalam harakah Islamiyyah.
  • Amal Islami perlu bermula dengan kefahaman yang luas tentang risalah yang sedang kita bawa ini beserta matlamat, jalan serta halangan yang bakal kita tempuhi disamping memahami realiti dimana kita sedang berada.
  • Kefahaman ini akan memastikan kita mengambil nilaian yang betul dalam menentukan keperluan dan keutamaan kita di samping menentukan neraca apakah yang akan kita gunakan didalam menilai suasana yang ada disekitar kita.
  • Kita tidak mengambil pendapat majoriti manusia atau pendapat ulama'-ulama' umum untuk mengukur kerja-kerja kita.
  • Kita tidak mengambil kejayaan sistem sebagai piawaian kita dalam menentukan instrumen-instrumen menilai kejayaan kita
Jahiliyyah Yang Menguasai
  • Suasana hari ini dikuasai sepenuhnya oleh jahiliyyah hingga sedikit sebanyak kita sendiri dipengaruhi oleh nilai-nilai jahiliyyah terutamanya didalam menentukan keutamaan dan membuat penilaian.
  • Jika kita lihat sistem hidup sekarang ini secara pandangan manusia atau cara orang Islam biasa kita tidak nampak sebarang kekurangan atau kesilapan secara total, kita cuma nampak aspek yang lemah sahaja.
  • Imam Ahmad Ibnu Hanbal pernah menyebutkan (mafhumnya) ”Apabila masyarakatnya jahil, pemerintahnya zalim dan pegawai-pegawainya terdiri dari orang-orang yang fasik maka jika ada sedikit kebaikanpun kita kena rasa hairan”. Kita perlu rasa hairan bagaimana mungkin dari pohon yang berduri, busuk dan beracun tiba-tiba mengeluarkan buah yang manis dan harum.
  • Kita tidak menolak segala yang dilakukan oleh masyarakat. Kita tidak nafikan ada bahkan ramai dikalangan mereka yang ikhlas tetapi kita meragukan apa yang sedang mereka laksanakan itu adalah natijah dari sistem yang menolak Ulluhiyyah dan Rubbubiyyah Allah SWT.

Majoriti Bukan Ukuran Kebenaran
  • Suara majoriti tidak mendokong kebenaran oleh itu nilaian dan pilihan kita tidak sepatutnya dipengaruhi oleh masyarakat umum.


    وَإِنْ تُطِعْ أَكْثَرَ مَنْ فِي الأرْضِ يُضِلُّوكَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ إِنْ يَتَّبِعُونَ إِلا الظَّنَّ وَإِنْ هُمْ إِلا يَخْرُصُونَ (١١٦

    "Dan jika kamu menuruti kebanyakkan orang yang ada di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanyalah mengikut persangkaan belaka dan mereka tidak lain hanyalah berdusta."(QS06. al-An'am: ayat 116.)
  • Kitalah yang seharusnya mempengaruhi manusia bukan kita yang terpengaruh dengan manusia. Janganlah kerana menjaga hubungan manusia sesama manusia hingga kita lupa hubungan dengan Allah SWT Jika kita benar-benar ingin kembali kepada Islam kita perlu memahami kehendak Allah SWT melalui sumber yang robbani dan sohih

Hanya Satu jalan
  • Jalan kita hanya satu. Jalan inilah yang dilalui oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda.
  • Demikian juga kita dan para pendokong dakwah, sama-sama melaluinya berpandukan taufik dari Allah SWT.
  • Kita dan mereka melaluinya berbekalkan iman, amal, mahabbah (kasih sayang) dan ukhuwwah (persaudaraan).
  • Rasulullah s.a.w. menyeru mereka kepada iman dan amal, kemudian menyatupadukan hati-hati mereka di atas dasar mahabbah dan ukhuwwah.
  • Berpadulah kekuatan iman, kekuatan akidah dan kekuatan persatuan. Jadilah jamaah mereka jamaah yang ideal sebagai model. Kalimahnya mesti lahir dan dakwahnya pasti menang walaupun ditentang oleh seluruh penghuni muka bumi ini.
  • Amal Islami inilah yang akan menjadi modal atau bekalan untuk kita kembali kepada Allah SWT.


    Di edit oleh: Fatimah